May 18, 2024

Belum ada penaja utama, Kedah pakai jersi pramusim


KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC akan memulakan musim Liga Malaysia 2024/25 dengan memakai jersi pramusim buat sementara waktu disebabkan pasukan dari utara itu berdepan kekangan apabila penaja utama kelab menghadapi kekangan saat akhir.

Kelab itu dalam satu kenyataan turut memaklumkan perkembangan terkini status penaja utama Sang Kenari dan juga perlawanan pembukaan Liga Super.

“Untuk makluman, selepas KDA FC menyelesaikan permasalahan utama bulan lepas, pihak pengurusan kini menumpukan sepenuh perhatian dalam menarik pelabur dan penaja seterusnya mengenal pasti syarikat swasta berpotensi untuk bekerjasama bagi musim 2024/25.

“Walaupun kelab ini menerima maklum balas positif berkenaan tawaran penajaan kelab, pihak pengurusan menempuh pelbagai cabaran dalam mengikat penaja utama untuk melancarkan perjalanan kelab bermula perlawanan Liga Super 11 Mei ini.

“Pada peringkat awal pada bulan Februari, KDA FC telah secara lisan menerima tawaran tajaan sebagai penaja utama kelab.

“Namun begitu, langit tidak selalu cerah, berlaku insiden yang tidak diduga menyebabkan syarikat tersebut menghadapi masalah besar sehingga perniagaan syarikat tersebut merosot yang menyebabkan pihak kelab terpaksa menolak tawaran tajaan di saat akhir,” jelas Kedah dalam kenyataan itu.

Pasukan Sang Kenari turut memaklumkan telah berbincang dengan Penaja Bersama KDA FC, AL Sports Sdn. Bhd. (ALX, Penaja Kit Rasmi), berkenaan jersi perlawanan Liga Super musim 2024/25 tanpa slot penaja utama.

Keputusannya ialah AL Sports Sdn. Bhd. tidak akan mengeluarkan kit jersi perlawanan Liga Super KDA FC musim 2024/25 sehingga penaja utama kelab disahkan, mengambil kira kos efektif dan pemasaran AL Sports Sdn. Bhd. dalam situasi menang-menang.

Proses pencarian penaja utama untuk Kedah diteruskan dimana ketika ini masih lagi terbuka kepada mana-mana syarikat yang berminat.

Sang Kenari akan memulakan saingan liga dengan bertemu pasukan PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang esok. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top