Belum cukup ‘rencah’ punca kekalahan – Arif

Belum cukup ‘rencah’ punca kekalahan – Arif


KUALA LUMPUR: Pemain beregu negara, Arif Junaidi mengakui permainan dia dan Yap Roy King masih belum cukup ‘rencah’ yang menjadi punca kepada kekalahan mereka di tangan pasangan No. 5 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-47 dunia tunduk kepada beregu handalan Denmark itu 13-21, 19-21 dalam masa 43 minit.

Pasangan muda negara itu mempamerkan aksi agresif dalam set kedua, namun, malangnya pengalaman Astrup-Rasmussen memberi kelebihan kepada pilihan kedua tersebut.

Arif, 22, berkata, banyak pengalaman yang dia dan Roy King kutip pada Malaysia Masters, terutama peluang berdepan beregu handalan dunia.

“Banyak pengalaman kami dapat, sekarang pun kita dah tak tengok ranking, kita semakin mencapai standard dengan beregu-beregu handalan.

“Bila kita berpeluang lawan beregu yang menghuni ranking dalam kelompok 10 terbaik dunia, saya rasa standard kita sudah sampai, tetapi, masih ada sesetangah ‘barang’ yang tak cukup lagi.

“Untuk kejohanan akan datang, saya harap kami dapat kekalkan permainan yang konsisten, jadi, amat penting untuk kami berdua jaga badan, saya tak nak lagi kecederaan atau masalah lain menimpa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.

Jelas Arif, daripada perlawanan tadi, dia dan Roy King lewat menyedari kesilapan yang menjadi punca mereka kehilangan mata.

PASANGAN beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah tewas kepada pasangan Korea Selatan, Lee Yu Lim dan Shin Seung Chan pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2024, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

“Jika kami sedar awal sudah tentu kami mampu perbaiki segera, tetapi, selepas habis perlawanan baru kami perasan di mana kekurangan kami.

“Saya juga berasakan kami perlu berani dan jangan tunggu set kedua baru hendak bangkit, sepatutnya pada awal-awal permainan lagi kami kena bagi tentangan,” ujarnya yang mungkin akan beraksi pada Terbuka Australia, selepas ini.

Sementara itu, nasib serupa mengiringi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang gagal meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir selepas kecundang kepada pasangan Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 16-21, 11-21 dalam masa 46 minit.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top