Pemain JDT Oscar Aribas Pasero (tengah) diasak Kapten Melaka FC Mohamad Nasir Basharudin (dua, kanan) pada saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim malam Jumaat. Foto Bernama
PENGENDALI Melaka FC, K Devan menegaskan bahawa skuadnya belum perlu menekan ‘butang panik’ walaupun tewas besar 1-7 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Jumaat.
Menurutnya, keputusan tersebut perlu dilihat secara realistik memandangkan Melaka FC baru tahun pertama beraksi dalam Liga Super selepas dinaikkan pangkat dari Liga A1 Semi-Pro selain kekangan bajet dan kualiti pemain yang jauh berbeza berbanding pasukan gergasi di Liga Super.
“Ini bukan soal panik. Kami tidak panik dan tahu di mana kedudukan sebenar kami.
“Sebenarnya ini proses pembelajaran, dan pemain perlu terus fokus.
“Ada perkara positif yang boleh diambil daripada separuh masa pertama tempoh hari, termasuk kemampuan kami menjaringkan satu gol menentang pasukan sekuat JDT.
“Malam ini (Jumaat), Melaka FC bertahan dengan baik pada separuh masa pertama walaupun bolos dua gol, satu berpunca daripada set piece, satu lagi hasil rembatan terus dan ini bermakna tumpuan pemain tidak bermasalah kerana mereka berjaya menghadkan peluang lawan,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Melaka FC berada pada kedudukan tercorot Liga Super dengan hanya meraih tiga mata hasil tiga keputusan seri dan tewas empat kali daripada tujuh perlawanan setakat ini.
Sementara itu, Devan berpuas hati dengan aksi serta komitmen yang ditunjukkan pemain-pemain muda yang diberikan peluang beraksi.
Katanya, pemain-pemain tersebut dilihat telah memberikan segalanya ketika beraksi walaupun berdepan pasukan yang memiliki kualiti dan pengalaman lebih tinggi seperti JDT.
“Hanya gol pertama benar-benar berlaku akibat benteng ditembusi, manakala selebihnya berpunca daripada sepakan percuma, situasi bola mati dan percubaan luar kotak.
“Selepas ini kita akan ‘buru’ pemain-pemain baharu yang berkualiti menjelang jendela perpindahan kedua termasuk dari Afrika, Colombia, Jepun dan Korea bagi memperkukuhkan posisi pertahanan serta serangan.
“Kita juga optimis kedudukan pasukan mampu diperbaiki sekiranya berjaya meraih beberapa kemenangan pada pusingan kedua Liga dan sekali gus berpeluang menamatkan saingan di tangga ke sembilan atau ke-10,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengendali Melaka FC, K Devan, menegaskan tiada keperluan menekan butang panik walaupun tewas 1-7 kepada JDT
- Melaka FC dalam tahun pertama Liga Super, hadapi kekangan bajet dan kualiti pemain berbeza dengan pasukan gergasi
- Tewas kepada JDT dianggap proses pembelajaran, ada aspek positif seperti kemampuan menjaringkan gol
- Melaka FC kini berada di posisi tercorot Liga Super, hanya meraih tiga mata dari tujuh perlawanan
- Devan berplannya untuk memperkuat skuad dengan pemain baru dari Afrika, Colombia, Jepun, dan Korea jelang jendela perpindahan kedua






