Belum pulih namun Faisal berhasrat bantu Selangor lawan Kedah

Belum pulih namun Faisal berhasrat bantu Selangor lawan Kedah


KUALA LUMPUR – Pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim meluahkan hasrat untuk beraksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ), malam ini.

Perkembangan itu dikongsikan Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menyatakan pemain berusia 26 tahun itu masih memikirkan tentang karier bola sepaknya  biar pun sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta.

Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC berkata, pemain itu sering kali menyatakan hasrat untuk kembali beraksi walaupun keadaan kesihatannya ketika ini belum mengizinkannya.

“Hampir setiap kali pertemuan Faisal akan menyatakan keinginan mahu kembali ke padang menjalani latihan atau menyepak bola. Dia mengetahui malam ini Selangor akan berentap dengan KDA FC. Itu pun dia nyatakan hasrat mahu beraksi bersama pasukan.

“Saya terpaksa menenangkannya dan memberitahu bahawa dia perlu kembali sihat jika mahu bermain bola seperti biasa,” katanya kepada media hari ini.

Ketika ini, Faisal yang sedang menjalani rawatan susulan disimbah asid sulfurik sudahpun dipindahkan ke wad biasa dan bakal mengharungi pembedahan keempat dijangka minggu depan.

Pembedahan keempat membabitkan prosedur ‘split skin graft’ (SSG) sebagai rawatan ke atas luka lecur tahap empat yang dialami pemain itu susulan kecederaan lecur tahap empat yang dialami pemain itu.

Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair menjelaskan, kulit daripada bahagian paha sentiasa menjadi pilihan namun mereka menyerahkan keputusan kepada pakar bedah bagi menentukan bahagian yang dirasakan terbaik untuk Faisal menjalani prosedur terbabit.

Berdasarkan semakan di Internet, SSG adalah proses di mana kulit yang normal dan sihat ‘dicukur’ dengan begitu nipis dan bahagian itu digunakan bagi menutup kawasan kulit yang sudah rosak ataupun tidak boleh pulih susulan kecederaan seperti luka kebakaran ataupun abnormaliti.

Sebelum ini, Faisal sudahpun mengharungi proses rawatan menggunakan skin allograft diimport dari Belgium untuk merawat kecederaannya pada pembedahan ketiganya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top