Beijing: Kesakitan dialami lelaki China ini akhirnya berakhir apabila doktor berjaya mengeluarkan seekor belut hidup sepanjang 30 sentimeter dalam perutnya.
Lelaki berusia 33 tahun dari Hunan itu tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Bersekutu Pertama Universiti Perubatan Hunan dengan keadaan muka pucat, berpeluh dan mengadu kesakitan luar biasa pada bahagian abdomen.
Menurut laporan akhbar Huaihua Daily, pemeriksaan awal melalui imbasan CT menunjukkan kehadiran objek asing yang menembusi usus dan berada dalam rongga perut.
Disebabkan bimbang berlaku peritonitis (keradangan lapisan dalam perut) yang boleh mengancam nyawa, doktor segera melakukan pembedahan kecemasan secara laparoskopi.
Mereka dikejutkan dengan penemuan seekor belut hidup berenang di antara organ dalaman pesakit.
“Belut itu menembusi sepenuhnya dinding usus besar dan terus masuk ke dalam rongga perut,” kata salah seorang doktor terbabit.
Belut berkenaan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan seakan-akan penyepit.
Doktor kemudian menjahit semula lubang di bahagian kolon sigmoid dan membersihkan kawasan perut menggunakan larutan garam untuk elak jangkitan.
Lelaki itu dilaporkan pulih dengan baik sebelum dibenarkan keluar hospital beberapa hari kemudian.
Namun, tiada maklumat lanjut mengenai nasib si belut.
Difahamkan, belut lazimnya hidup dalam kawasan berlumpur seperti sawah, tasik, atau parit dan mampu menebuk tanah atau dinding lembut termasuk dinding usus manusia jika diberi ruang.
Walaupun pihak hospital tidak mendedahkan bagaimana belut itu boleh berada dalam badan pesakit, ramai netizen pantas membuat pelbagai andaian.
© New Straits Times Press (M) Bhd