Benarkah kita mencintai Nabi Muhammad SAW

Benarkah kita mencintai Nabi Muhammad SAW


– Advertisement –

ALLAH SWT berulang kali memanggil kita di dalam kitab-Nya, al-Quran dan memerintahkan kita mentaati-Nya dan bertakwa kepada-Nya. Allah SWT sentiasa memanggil semua manusia melalui firman-Nya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah S.W.T sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”
(An Nisa’: 1)

Di saat manusia sudah berhijrah atau berpindah dari kegelapan kepada cahaya dan dari kekufuran menuju iman, maka Allah SWT memanggil lagi melalui firman-Nya seperti  ayat di bawah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Ali Imran: 102)

Semua orang dilahirkan dari keluarga Muslim, mengaku yang mereka seorang Muslim. Malah marah bila dikatakan sebaliknya walaupun perangai mereka tidak sekali-kali mencerminkan kehidupan mereka mengikut cara hidup Islam. Tetapi pernahkah kita bertanya balik diri kita sekarang, apakah kita benar-benar seorang Muslim dan melaksanakan cara hidup Islam di dalam kehidupan kita?

Ada lima rukun Islam. Kalau kita benar-benar seorang Muslim, sudahkah rukun Islam yang lima itu, kita tegakkan di dalam kehidupan harian kita. Semua orang Islam bersyahadah, أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ   (Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah) وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله (Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah) kerana ianya sebagai Rukun Islam pertama.

Jadi di ketika kita melafazkan أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله  iaitu aku bersaksi, aku mengakui, aku berikrar bahawa Nabi Muhammad, Ibnu Abdillah, Ibnu Mutalib, Ibnu Hashim, Ibnu Manaf, adalah hamba utusan Allah SWT. Lafaz ini kita sebut berulang-ulang kali di setiap solat kita dan sudah biasa kita dengar di mana-mana, tetapi apa konsekuensinya ucapan syahadah kita itu? 

Apakah akibat, hasil, impak, atau pengaruh dari lafaz syahadah yang kita sebutkan itu ke atas pendirian dan kehidupan kita?

Syahadah memberi impak besar kepada kehidupan manusia iaitu dengan bersyahadah menjadikan dia seorang Muslim dan setelah Muslim dia wajib patuh terhadap hukum hakam Islam. Maksudnya seorang Muslim mesti menegaskan kewujudan Allah SWT sebagai satu-satunya Tuhan dan menjadi pengikut Rasulullah SAW yang telah diutus oleh Allah SWT, membawa agama Islam ke dunia ini.

Berbicara mengenai kalimah, أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ dan diikuti dengan kalimah وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله, kita kena mempelajari dan memahami kedua-dua kalimah ini walaupun sejak lahir kita sudah Islam dan hidup dalam lingkungan masyarakat Islam dan membudayakan cara hidup Islam agar kita benar-benar ikut Rasulullah SAW dan syariatnya.

Perkara-perkara utama yang kita kena belajar:
1. Ketika seseorang menyebut وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله maka dia dituntut untuk mencintai Nabi Muhammad SAW. Mencintai Rasulullah SAW lebih dari pekerjaannya sendiri, lebih daripada ibu ayahnya, lebih daripada isteri dan anak-anaknya, bahkan lebih daripada dirinya sendiri.

Cinta bukan sekadar ucapan di bibir sahaja, tetapi cinta menuntut pengorbanan jiwa, harta dan fizikal. Allah SWT memerintahkan kepada Nabi SAW untuk memberitahu kepada seluruh umat manusia dan kepada orang-orang yang mengaku beriman seperti dalam ayat al-Quran dan hadis di bawah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan takut rugi, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk ugama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (At-Taubah: 24)

Sabda Nabi SAW kepada mereka yang mengaku sudah beriman yang bermaksud:

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia lebih mencintai Aku (Rasulullah) daripada kedua-dua orang tuanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya.”  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jadi, jom bersama, membuktikan cinta kita kepada Allah SWT dan kepada Nabi Muhammad SAW. Apa buktinya? Dengan mengikuti Rasulullah SAW.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali-Imran: 31)

Apa sahaja istilah yang digunakan dewasa ini seperti _‘follower’_ – pengikut di dunia maya. Ada sebahagian daripada kita dengan bangganya menjadi pengikut tokoh-tokoh terkenal seperti ahli sukan, menjadi pengikut artis-artis terkenal dan lain-lain tokoh terkenal yang Islam atau yang bukan beragama Islam.

Tanyalah diri kita, sudahkah kita menjadi _‘follower’_ Rasulullah SAW? Dan menjadikan Nabi SAW sebagai idola dan contoh untuk diri kita di dalam kehidupan ini.

Dengan demikian kita menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan di dalam keluarga dan rumah tangga kita, di dalam profesion kita, di dalam perniagaan kita, di dalam gerak kerja politik kita, di dalam hubungan sesama kita di dalam masyarakat dan negara, di dalam pendidikan, di dalam hiburan, di dalam persukanan dan di dalam apa sahaja aktiviti dalam kehidupan, ikut seperti apa yang telah Nabi Muhammad SAW ajar dan lakukan.

Tetapi realitinya, cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW ada yang pura-pura, tidak dibuktikan di dalam realiti kehidupan cuma sekadar memperingatinya di dalam majlis-majlis berselawat, perarakan dan penganugerahan tokoh-tokoh. Usai program, semangat cintakan Rasulullah SAW memudar seperti bersilih gantinya masa.

2. Konsekuensi kepada orang yang mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT yang diutus oleh Allah SWT untuk mengajak manusia kepada Allah SWT, mentauhidkan Allah SWT, menunjukkan jalan ke Syurga, jadi kita semua kena taat dan patuh kepada Nabi SAW.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah SWT. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah SWT, dan Rasulullah SAW juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah SWT Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisa’: 64)

Jadi Rasulullah SAW adalah untuk dipatuhi dan diikuti. Justeru kita kena belajar. Kerana tanpa ilmu pengetahuan mengenai hal agama yang telah diajarkan oleh Nabi SAW, bagaimana kita hendak mengikuti Baginda. Ilmu agama mesti sentiasa dipelajari dan diulang-ulang mempelajarinya kerana manusia ini mudah lupa dan mudah terpedaya oleh godaan hawa nafsu, oleh bisikan Syaitan dan juga oleh godaan pengaruh dunia tanpa sempadan di alam maya. Yang utamanya, kena belajar sehingga faham dan melaksanakannya dan selebihnya terserah kepada Allah SWT.

Seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Allah S.W.T tidak membebani seseorang kecuali sesuai kemampuannya. Ia akan mendapatkan pahala atas usahanya dan mendapatkan siksa atas kesalahannya. (Lalu mereka berdoa), ‘Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah.” (Al Baqarah: 286)

Dan seusai solat subuh di setiap pagi, Baginda Rasulullah S.A.W berdoa yang bermaksud:
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima.” (HR Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu as-Sunni)

Kalau kita benar-benar menjadi pengikut Nabi SAW dan melafazkan syahadah, maka bersabar dan bersemangatlah mengikuti perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT dan Rasul-Nya, moga akan menyampaikan kita ke Syurga-Nya.

Baginda Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Apa pun yang aku larang kepada kalian, maka tinggalkanlah, dan apa yang aku perintahkan kepada kalian, maka lakukanlah sesuai kemampuan kalian. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kalian banyak bertanya dan menyelisihi (tidak mematuhi) para nabi mereka.” (HR Muslim no. 1337)

Contohnya, seandainya kita tidak mampu solat berdiri, solatlah secara duduk, berbaring atau solat mengikut isyarat mata sahaja. Seandainya kita tidak mendapati adanya air atau ada anggota wuduk tidak boleh terkena air, maka kita berwuduklah dengan bertayamum. Yang utamanya kita melaksanakan perintah sesuai kemampuan kita. Agama tidak pernah memberatkan di luar batas mampu seseorang.

Lihatlah amaran Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Muslim di atas, kalau beliau melarang maka mesti tinggalkan, semua mesti ditinggalkan. Untuk meninggalkan sesuatu yang dilarang, tidak memerlukan kekuatan tenaga cuma memerlukan kekuatan Iman, kesabaran dan rasa takut kepada Allah SWT.

Di samping itu, cuba pelajari jenis-jenis dosa besar, jenis-jenis sifat mazmumah (sifat terkeji) dan larangan-larangan Nabi SAW yang mesti ditinggalkan. Ramai di kalangan umat Islam sehingga saat ini, yang mengatakan taat kepada Rasulullah SAW, tetapi masih terpalit dengan amalan-amalan riba, zina, pembunuhan, penipuan, mencuri, menculik, membuli, pecah amanah, peperangan saudara dan sebagainya di mana-mana sahaja.

Ingatlah pesanan Nabi SAW tentang jangan kita terjebak atas perbuatan dosa berulang-ulang kali walaupun kita tahu bahawa Allah SWT itu Maha Penerima taubat hamba-hamba-Nya.

Tidak ada manusia yang luput dari kesalahan. Baik dilakukan secara sengaja atau pun tidak. Sering kali kesalahan itu terjadi akibat kelalaian. Kendati demikian, tidak wajar sebagai seorang mukmin berulang kali jatuh dalam kesalahan yang sama. Itu sebabnya Nabi S.A.W mengingatkan dalam sabdanya sebagaimana diriwayatkan dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Seorang mukmin tidak boleh jatuh ke satu lubang dua kali.” (HR Bukhari dan Muslim).

Hadis tersebut mengandungi pesanan bahawa sebagai seorang muslim perlu belajar dari kesalahan yang pernah diperbuat. Kerana kesalahan yang terjadi di masa lampau boleh dijadikan sebagai sebuah pelajaran yang berharga.

Berhati-hatilah memilih kawan, jangan sampai mencampakkan kita ke Neraka dan menjauhkan kita dari Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Buktikan cinta kepada Rasulullah SAW dengan mengikut jalannya sahaja bukan persimpangan-persimpangan yang menyesatkan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia ialah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).”

“Kemudian apabila dia pergi berpaling (daripadamu), berjalan di muka bumi untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.”

“Dan apabila dikatakan kepadanya: ‘Bertakwalah engkau kepada Allah’ timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu, padanlah dia (menerima balasan azab) neraka Jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka Jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.”

“Dan antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah S.W.T semata-mata; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (Al-Baqarah: 204-207)

Penutup

Di antara konsekuensi seseorang tentang menyatakan lafaz, أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله  – orang beriman akan percaya dengan semua informasi yang disampaikan oleh Nabi SAW sama ada mengenai kejadian-kejadian masa lalu, juga kejadian-kejadian akan datang, cerita-cerita berkait Syurga dan Neraka, hal azab kubur, cerita berkenaan adanya timbangan amal kelak di Padang Mahsyar, cerita pasal Sirat yang terbentang di atas Neraka Jahannam dan semua yang disampaikan oleh Nabi SAW dan yang di sebutkan di dalam al-Quran dan hadis yang sahih, kita wajib percaya.

Sama ada cerita-cerita itu, kita boleh terima atau tidak, selagi ianya daripada Nabi S.A.W, maka kita wajib percaya. Inilah bukti cinta kita kepada Rasulullah SAW. Cinta Allah SWT adalah tujuan, cinta Rasulullah S.A.W adalah jalan, jadi ikut Nabi S.A.W iaitu ikut syariatnya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali- Imran: 31)

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah: 168)

Di antara amalan yang dibanyakkan oleh Rasulullah SAW:

– Advertisement –

1. Banyakkan zikrullah (ingat Allah S.W.T)

2. Banyakkan tilawah Al-Quran..

3. Banyakkan Istighfar (ampunan Allah S.W.T)

4. Banyakkan selawat kepada Nabi S.A.W.

5. Banyak zikrul maut (ingat mati)

6. Banyakkan memberi-sebar salam

7. Banyakkan melazimi majlis ilmu.

8. Banyakkan berdoa (bermunajat dan mengadu hal kepada Allah S.W.T)

Wallahua’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN
Kuantan, Pahang – HARAKAHDAILY 21/9/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top