Benarkah Liga M sudah mati?

Benarkah Liga M sudah mati?



firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Benarkah Liga Malaysia (Liga M) sudah ‘mati’?

Perkara itu timbul susulan rekod kehadiran penyokong di setiap venue perlawanan khususnya Liga Super akhir-akhir ini cukup membimbangkan.

Penurunan drastik kehadiran penyokong dapat dilihat pada aksi minggu ke-19 yang menyaksikan tidak sampai 10,000 peminat di kelima-lima venue perlawanan.

Sebenarnya trend penurunan itu sudah berlaku sejak perlawanan minggu ke-18 dan 17 apabila semakan Arena Metro mendapati jumlah kehadiran semakin merosot dari minggu ke minggu.

Paling ‘teruk’ terjejas dalam minggu ke-19 atau lebih tepat pada hujung minggu lalu apabila hanya merekodkan 6,843 kehadiran sahaja.

Menerusi pecahan daripada jumlah itu, kehadiran paling ramai direkodkan ketika aksi antara Penang FC dan Selangor FC di Stadium Bandaraya dengan 2,198 penyokong.

Manakala jumlah kedua tertinggi adalah babitkan perlawanan Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan jumlah 2,046 peminat diikuti Perak FC bertemu Kelantan Darul Naim di Manjung dengan 1,106 penyokong sahaja.

Dua lagi aksi menyaksikan catatan di bawah 1,000 babitkan Sri Pahang menentang Kuala Lumpur City FC di Temerloh dengan kehadiran 956 penyokong dan aksi antara Negeri Sembilan FC berdepan Sabah FC di Paroi dengan 537 peminat, sementara perlawanan Kuching City FC dan Kedah Darul Aman FC ditangguhkan.

Pelbagai punca dikenal pasti mengapa kehadiran penyokong cukup hambar dengan majoriti pemerhati, pengkritik dan penyokong menyalahkan isu penjadualan liga menyebabkan peminat sudah bosan.

Bagaimanapun, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai senarai panjang tersendiri mengapa saingan liga domestik semakin hambar.

Tunku Ismail menegaskan, masalah utama datangnya daripada kelab itu sendiri termasuk isu tunggakan gaji, kegagalan menguruskan infrastruktur seperti pusat latihan dan stadium selain pengurusan dalaman pasukan yang tidak peduli masalah pemain.

“JDT menang, stadium dan padang kurang cantik, pemain pasukan tak dapat gaji, pemain tiada gaji dan tak bersemangat, musim hujan, orang-orang jaga kelab tak peduli dan lain-lain.

“Senang cerita macam ini. Kalau rumah jiran kita cantik dan rumah kita tak terurus, gila ke kita nak bakar seluruh kawasan perumahan? Ibarat rumah tak terurus dan tak cantik, ajak orang ramai-ramai duduk di hutan.

“Sendiri tak bayar gaji salahkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia). Kenalkan ‘Financial Fair Play’ dengan segera, badan pengadil mesti ‘independent’ dan bukan di bawah FAM,” katanya di laman sosial miliknya.

Malah, Tunku Ismail turut menggesa pihak yang tidak berpuas hati untuk membayar pengadil dari luar negara demi menamatkan sebarang alasan dan konspirasi selama 11 tahun ini.

“Tak puas hati juga, bayarlah pengadil luar negara, 11 tahun macam-macam alasan dan konspirasi. Ibarat pasukan Bundesliga semua ajak ramai-ramai boikot liga kerana tak boleh mencabar Bayern. Pemikiran adalah segala-galanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top