asmaini@mediaprima.com.my
MESKIPUN berdepan cabaran cuaca tidak mengizinkan, namun Pesta Angin Timur 2025 (PAT 2025) di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, Perlis baru-baru ini tetap berlangsung dalam suasana meriah.
Acara tahunan edisi ke-13 anjuran Kerajaan Perlis dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negara (JKKN) itu diadakan selama tiga hari dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung.
Ia menggabungkan pelbagai acara seni dan budaya serta pertandingan yang turut mendapat penyertaan dari negara jiran, Thailand.
Acara sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 itu dirasmikan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Antara acara yang mencuri perhatian adalah pertandingan bola bendang untuk menguji ketangkasan peserta bermain bola sepak, bola jaring, bola tampar dan melakukan sepakan penalti dalam sawah berlumpur.
Selain itu, acara Perlis International Mud Challenge dan Pertandingan Perlis Open Tug of War turut menguji kemahiran peserta di mana setiap pasukan bertanding dalam cabaran di tengah sawah.
Pengunjung, Nanie Halizar, 40, berkata, dia sekeluarga sanggup datang dari Pendang, Kedah semata-mata mahu memberi pendedahan mengenai keseronokan sukan rakyat kepada anak-anaknya.
Kata Nanie, pertandingan sukan rakyat bukan sahaja menggamit memori permainan tradisional zaman dahulu, malah memberi peluang kepada golongan muda mempelajarinya.
“Pertandingan pukul bantal dan pertandingan kayuh basikal atas titi misalnya sudah tidak lagi dimainkan secara terbuka menyebabkan golongan muda majoriti tidak pernah mengenalinya.
“Selain itu, pertandingan tangkap itik juga memberi hiburan tersendiri kepada pengunjung,” katanya.
Dalam pada itu, pertandingan peragaan pakaian kitar semula si cilik turut mencuri tumpuan dengan pelbagai kerenah bersahaja si kecil menggayakan rekaan fesyen kitar semula masing-masing.
Acara memancing ikan air tawar sempena Pertandingan Memancing PAT 2025 anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perlis juga menarik penyertaan ramai kaki pancing.
Dalam pada itu, kemeriahan pesta tidak terhad pada sebelah siang sahaja kerana pelbagai acara menarik turut disediakan pada sebelah malam.
Antaranya persembahan wayang kulit, pertunjukan layang-layang bercahaya, persembahan wayang pacak dan belon udara panas yang jarang sekali dapat disaksikan pada hari biasa.
Sementara itu, Pertandingan Wau Helang menjadi salah satu acara yang ditunggu-tunggu pengunjung ke PAT 2025.
Keadaan tapak bendang sawah padi lecak dan berlumpur tidak menghalang ratusan peserta ‘mewarnai’ ruang udara Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang.
Pelbagai rekaan wau helang menarik ditampilkan, keunikan warisan yang menjadi simbol negeri berkenaan.
Pertandingan itu dinilai berdasarkan ketahanan dan ketinggian wau yang diterbangkan dan pemenang dipilih jika wau mampu bertahan pada ketinggian 50 meter sekurang-kurangnya selama lima minit.
Acara itu secara tidak langsung dapat mendekatkan dan menyerlahkan kreativiti golongan muda dalam memberi ‘nafas’ kepada pembuatan wau berkenaan bagi memastikan ia tidak lapuk ditelan zaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd