PENYERANG sensasi dari Perancis, Karim Benzema, terus menambah koleksi kejuaraannya apabila membantu Al Ittihad merangkul Piala Raja Arab Saudi, melengkapkan kejuaraan berganda musim ini selepas menjuarai Liga Pro Saudi.
Dalam perlawanan akhir di Stadium Raja Abdullah, Al Ittihad menewaskan Al Qadsiah 3-1 untuk menjulang piala berprestij itu buat kali ke-10 dalam sejarah kelab.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Al Ittihad selaku antara gergasi bola sepak Saudi, hanya dibayangi Al Ahli dan Al Hilal dari segi jumlah kemenangan dalam Piala Raja.
Benzema membuka tirai jaringan pada minit ke-12 hasil gerakan kemas di dalam kotak penalti, sebelum rakan sepasukan, Houssem Aouar, menggandakan kelebihan menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-33.
Al Qadsiah, yang baharu dinaikkan ke liga utama musim lalu, cuba bangkit melalui sepakan penalti Pierre-Emerick Aubameyang pada penghujung babak pertama.
Namun, usaha Al Qadsiah untuk mencipta sejarah sulung menjuarai Piala Raja dalam tempoh 58 tahun kewujudan kelab itu tidak kesampaian, apatah lagi selepas pemain tengah, Ezequiel Fernandez, dilayangkan kad merah pada minit ke-87.
Benzema memastikan kemenangan muktamad apabila menjaringkan gol ketiga dalam masa tambahan, menutup tirai musim cemerlang peribadi dan pasukan.
Aubameyang, yang menyertai Al Qadsiah dari Marseille pada Julai lalu, nyata kecewa selepas gagal membantu pasukannya meraih trofi sulung sejak 31 tahun lalu.
Walaupun telah meledak 21 gol musim ini, termasuk jaringan dalam final, impian untuk menjulang kejuaraan masih belum menjadi kenyataan.
Sebaliknya, Benzema terus mencipta nama di Timur Tengah selepas perpindahannya dari Real Madrid pada tahun 2023.
Setakat ini, beliau telah merekodkan 38 gol dalam 62 penampilan bersama Al Ittihad — termasuk 21 gol liga yang membawanya ke tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak di belakang Cristiano Ronaldo (25 gol) dan Ivan Toney.
Namun, kehebatan Benzema tidak hanya terhenti di situ apabila turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Pro Saudi, mengetepikan Ronaldo yang sekali lagi meraih kasut emas.
Kejuaraan liga dan Piala Raja ini menandakan kejayaan berganda pertama buat Al Ittihad dalam satu musim, sekali gus menzahirkan impak besar yang dibawa pengendali, Laurent Blanc.
Pasukan bimbingannya menamatkan saingan liga dengan kelebihan lapan mata mengatasi pencabar terdekat, Al Hilal.