Berasa sangat puas hati – Wan Arif

Berasa sangat puas hati – Wan Arif


Wan Arif (kiri) dan Roy King mengungguli Terbuka Macau pada Ahad. Foto Agensi.

PEMAIN beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi mengakui sudah mula serasi dengan corak permainan yang diterapkan jurulatih, Herry Iman Pierngadi untuk muncul juara Terbuka Macau 2025 pada Ahad.

Beliau yang berpasangan dengan Yap Roy King menghadiahkan Malaysia gelaran itu selepas menumpaskan wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani secara straight set.

Wan Arif mendedahkan pada mulanya berasa sukar untuk menterjemahkan gaya permainan yang diterapkan oleh jurulatih dari Indonesia itu, namun selepas beberapa bulan ia dapat dipraktikkan dengan baik.

“Susah nak terima pada mulanya (corak permainan). Selepas beberapa pertandingan coach ada duduk di belakang baru dapat serasi. Saya harap dapat tingkatkan lagi (prestasi),” katanya.

Wan Arif-Roy King memahat sejarah apabila muncul juara beregu lelaki, sekali gus menghadiahkan Malaysia kejuaraan pertama dalam kategori itu di Macau selepas 12 tahun.

Gandingan yang menghuni ranking ke-24 dunia itu mengejutkan pasangan nombor lapan dunia 22-20, 21-18 dalam aksi final di Macao East Asian Games Dome.

Wan Arif turut mengakui berasa sangat gembira dapat menewaskan pasangan itu kerana kali terakhir beraksi di pentas final ialah pada Mac 2024 menentang lawan yang sama.

“Sangat puas hati, sudah lama tunggu untuk dapat gelaran. Pada perlawanan akhir Mac tahun lalu, kami kalah dan kali ini dapat tebus semula,” katanya.

Menyentuh mengenai perlawanan akhir itu, beliau mendedahkan ada berbincang dengan Herry mengenai taktikal perlawanan termasuk membuat analisis menerusi video.

“Nak kata lawan lebih berpengalaman tidak juga kerana pernah berjumpa dengan mereka dan tahu corak permainan. Namun kami sudah kaji kelemahan dan apa yang jurulatih ajar kami buat, menyebabkan lawan berasa sukar,” katanya.

Mengulas air dari alat penghawa dingin yang bocor, Wan Arif memberitahu cuba mengawal minda dengan positif dan memberi fokus sepenuhnya kepada permainan.

“Pada mula berasa terganggu. Nak smash pun air menitik atas kepala, tetapi saya fikir balik, kalau saya tertekan atau koyak, lawan juga akan berasa perkara sama, jadi saya cuma fokus,” katanya.

 



Source link

OR

Scroll to Top