Berat hati tinggalkan bumi Syria

Berat hati tinggalkan bumi Syria



nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Rugi rasanya jika pulang ke tanah air ketika ini kerana rasa seakan-akan saya mensia-siakan waktu menuntut ilmu,” kata penuntut Malaysia di Syria, Ahmad Syafiq Nor Raihan.

Ahmad Syafiq, 24, berkata, dia berada di Syria sejak 1 Oktober 2021 untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin dan Tafsir di Universiti Biladu As-Syam Fathul Islami.

“Alhamdulillah, kami (rakyat Malaysia di Dimashq) dalam keadaan sihat. Keadaan di Syria juga seperti sedia kala, aman dan tenang.

“Cuma harga barang-barang di sini mula meningkat dua kali ganda sejak dua hari lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, ramai penuntut Malaysia memilih untuk kekal berada di negara ini sehingga arahan lanjut dikeluarkan oleh Konsulat Malaysia di Syiria.

“Tujuan saya datang ke sini adalah untuk menuntut ilmu agama dan mendalami bahasa Arab.

“Saya rasa rugi jika pulang ke tanah air kerana di sini masih ramai lagi ulama-ulama yang tua mahupun muda mengajar dan menyebarkan ilmu.

“Jika pulang (ke Malaysia), seakan-akan saya mensia-siakan waktu saya menuntut ilmu di sini,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Perkara sama turut dirasai oleh seorang lagi penuntut Malaysia di Syria, Muhammad Najmi Elnimiaty Nahar Sofi, 25, yang memilih untuk kekal berada di negara berkenaan.

Menurutnya, tindakan pulang ke tanah air amat merugikan kerana terdapat ramai ulama masyhur di Syria.

“Apa yang ada di bumi Syam (Syria) ini sangat berharga bagi saya kerana di sini masih ramai ulama masyhur untuk kami menuntut ilmu dengan mereka.

“Lagipun, keadaan di sini masih selamat dan kami (penuntut Malaysia) diarahkan untuk terus kekal di rumah sejak Sabtu lalu untuk mengelak kekacauan di luar sehingga situasi benar-benar stabil,” katanya yang berasal dari Pokok Sena, Kedah.

Beliau yang juga penuntut ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin di universiti sama berharap Syria kembali aman dan keadaannya bertambah baik pada masa akan datang.

Sebelum ini, media melaporkan pemerintahan Baath di Syria selama 61 tahun tumbang pada Ahad apabila ibu negara, Damsyik jatuh daripada kawalan pemerintah.

Selepas pertempuran sengit bermula 27 November lalu, pemerintah kehilangan kawalan ke atas banyak kawasan termasuk Aleppo, Idlib dan Hama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top