Berbaki 2,000 Sahaja… Lebih 58,000 Tiket Konsert Siti Nurhaliza Sudah Terjual – “Saya Ada Juga Rasa Gementar, Tapi…”

Berbaki 2,000 Sahaja… Lebih 58,000 Tiket Konsert Siti Nurhaliza Sudah Terjual – “Saya Ada Juga Rasa Gementar, Tapi…”


Puspita hati rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila jualan tiket Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love yang dijadualkan berlangsung Januari hadapan menerima sambutan luar biasa daripada peminat.

Menurut Biduanita Negara itu, sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaannya apabila hampir kesemua tiket habis terjual dalam tempoh singkat.

“Syukur Alhamdulillah. Saya terharu dan tidak menyangka peminat memberikan sokongan sebegitu hebat. Setakat ini lebih 58,000 tiket sudah terjual dan hanya sekitar 2,000 tiket bagi kategori VIP serta Platinum yang masih berbaki,” katanya.

Pelantun lagu Kumbang Bunga itu turut mengakui berasa berdebar kerana konsert kali ini diadakan di lokasi yang besar dan berprestij iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya ada juga rasa gementar dan sempat beritahu pengurus saya, Rozi Abdul Razak. Terlintas di fikiran, bolehkah saya lakukan konsert sebesar ini kerana ia berlangsung tidak lama selepas konsert di Malaysia sebelum ini?

“Tapi Alhamdulillah, dalam tempoh dua minggu sahaja, lebih separuh tiket sudah habis dijual. Itu buat saya semakin bersemangat walaupun gementar,” katanya kepada XTRA.

Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Gema Bumantara yang diadakan di TGV Pavilion Bukit Jalil, pada Selasa.

Mengulas mengenai persiapan konsert, Siti berkata fokus utama adalah memastikan setiap aspek persembahan mencapai tahap terbaik supaya penonton benar-benar berpuas hati.

“Saya mahu pastikan semua yang hadir mendapat pengalaman terbaik. Kualiti sistem bunyi, pemilihan lagu dan keseluruhan persembahan akan diberi perhatian penuh. Insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik untuk peminat,” katanya.

Menurut Siti, konsert yang bakal berlangsung selama hampir tiga jam itu akan menampilkan lebih 25 lagu dengan sesi latihan bermula pertengahan November.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari depan dan mencatat jualan memberangsangkan hanya dalam tempoh dua minggu.





Source link

OR

Scroll to Top