Berbatov dedah pernah diculik gengster ketika usia 18 tahun

Berbatov dedah pernah diculik gengster ketika usia 18 tahun


BEKAS bintang Manchester United dan Tottenham Hotspur, Dimitar Berbatov mengejutkan dunia bola sepak apabila mendedahkan dirinya pernah diculik oleh kumpulan gengster ketika berusia 18 tahun.

Insiden mengerikan itu berlaku ketika Berbatov masih mewakili kelab Bulgaria, CSKA Sofia dan menjadikannya satu pengalaman yang disimpannya sebagai rahsia sepanjang kariernya bersama kelab-kelab besar Eropah.

Bercakap dalam program Rio Presents Podcast bersama bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Rio Ferdinand, Berbatov menceritakan bagaimana dia ditahan beberapa jam oleh sekumpulan lelaki dipercayai anak buah ketua mafia terkenal Bulgaria, Georgi Iliev.

“Saya diajak oleh rakan sepasukan untuk berjumpa ‘rakannya’ di sebuah restoran. Tanpa curiga, saya ikut kerana kami dalam pasukan yang sama.

“Sampai di restoran, saya lihat seorang lelaki duduk sendirian manakala di tiga meja lain, ada lelaki-lelaki berbadan besar yang kelihatan menakutkan. Rakan saya kemudian pergi, dan saya diarahkan duduk di depan lelaki itu,” katanya.

Menurut Berbatov, lelaki berkenaan memperkenalkan dirinya dengan nama gelaran ‘The Cook’ dan terus menyatakan niat mahu memaksa pemain muda itu berpindah ke kelab lain.

“Mereka kata mahu saya bermain untuk pasukan mereka. Saya cuba jelaskan saya gembira di CSKA Sofia, tapi mereka jawab ‘kami akan uruskan itu’. Saya sangat takut, hanya terfikir mahu hubungi ayah saya,” jelasnya.

Berbatov mendedahkan dia ditahan di restoran tersebut selama dua hingga tiga jam sebelum akhirnya dibenarkan menghubungi bapanya dan dilepaskan.

“Ketika itu saya fikir hidup saya mungkin berakhir. Saya cuma remaja 18 tahun dan tahu bagaimana keadaan dunia bola sepak di Bulgaria ketika itu. Mujur semuanya berakhir tanpa kecederaan,” katanya.

Berbatov bermain tiga tahun bersama CSKA Sofia sebelum berhijrah ke Bayer Leverkusen di Jerman.

Beliau kemudian menyertai Tottenham Hotspur pada 2006 dan berpindah ke Manchester United dua tahun kemudian. Bersama United, Berbatov menjulang dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala Liga dan Piala Dunia Kelab.

Selepas meninggalkan Old Trafford, penyerang Bulgaria itu turut beraksi bersama Fulham, AS Monaco, PAOK dan Kerala Blasters sebelum bersara pada 2019.

Ringkasan AI

  • Bekas bintang Manchester United dan Tottenham Hotspur, Dimitar Berbatov, mendedahkan dirinya pernah diculik oleh kumpulan gengster ketika berusia 18 tahun
  • Insiden tersebut berlaku ketika dia mewakili kelab Bulgaria, CSKA Sofia
  • Dia ditahan beberapa jam oleh anak buah ketua mafia terkenal Bulgaria, Georgi Iliev
  • Berbatov ditahan di sebuah restoran dan dipaksa berpindah ke kelab lain
  • Dia dilepaskan setelah dua hingga tiga jam dan berjaya menghubungi bapanya



Source link

OR

Scroll to Top