Beregu remaja negara kejutkan naib juara Terbuka Thailand

Beregu remaja negara kejutkan naib juara Terbuka Thailand


BEREGU lelaki remaja negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing, bermula positif apabila mara ke pusingan kedua Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pasangan itu mengejutkan finalis Terbuka Thailand, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark pada pusingan awal dalam aksi yang berlarutan ke set penentuan.

Aaron-Khai Xing, yang berada di kedudukan ke-58 dunia, bermula hambar pada set pertama apabila tewas 12-21.

Juara Remaja Dunia 2024 itu bagaimanapun mengikat kedudukan 1-1 apabila menang permainan kedua 21-11 untuk melanjutkan aksi ke set penentuan.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Aaron-Khai Xing meneruskan momentum positif apabila mengesahkan kemenangan 21-17 dalam masa 48 minit permainan.

“Pada set pertama, kami bermula agak santai. Namun pada set kedua, jurulatih mengubah strategi mahu kami lebih agresif.

“Malah jurulatih juga beritahu supaya beraksi seperti mana dalam latihan dan perlu lebih berani. Ini satu permulaan baik kerana mereka merupakan naib juara Terbuka Thailand,” ujar Khai Xing.

Sebagai rekod, pasangan Denmark yang berada di kedudukan ke-50 dunia itu tewas kepada beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam aksi final Terbuka Thailand 20-22, 21-17, 21-12 di Stadium Nimibutr, Bangkok, Ahad lalu.

Aaron turut mendedahkan bahawa mereka sudah mengetahui serba sedikit corak permainan pasangan lawan hasil perkongsian pemain senior, Aaron.

“Mereka (Aaron-Wooi Yik) baru sahaja lawan pasangan ini. Jadi kami cuba ambil ilmu daripada mereka. Misalnya, apabila pihak lawan melepaskan bola, kami cuba baca dan arah bola mereka,” katanya.

Menanti pasangan muda negara itu dalam penentuan ke suku akhir ialah satu lagi pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, pada Khamis.

Pilihan ketujuh kejohanan itu mara ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Taiwan, Ming Che Lu-Tang Kai Wei, 21-10, 21-14.



Source link

OR

Scroll to Top