SEMASA menjalani ibadah puasa Ramadan, terdapat umat Islam yang tidak sabar menunggu kedatangan 1 Syawal. Golongan tua dengan persepsinya yang tersendiri terhadap hari raya dan begitu juga dengan golongan muda dan kanak-kanak. Biasanya golongan tua dan yang sudah berumah tangga akan menjadikan hari raya ini sebagai hari yang penuh kegembiraan dengan segala peralatan rumah yang baharu dan serba lengkap.
Ada yang sanggup berhutang demi memuaskan nafsu pada hari raya. Justeru, tidak hairanlah apabila berada pada penghujung Ramadan iaitu pada 10 hari terakhir, warga Islam di Malaysia biasanya akan sibuk dengan persiapan raya. Gedung pakaian, kedai perabot dan pasar raya akan dipenuhi dengan ribuan manusia membeli-belah untuk membuat persiapan beraya.
Golongan muda pula biasanya akan menjadikan hari raya sebagai hari yang penuh sukaria dengan berkumpul bersama rakan taulan dan menonton wayang bersama. Ada pula yang mengambil kesempatan pada hari raya untuk pergi berkelah bersama teman.
Kanak-kanak pula mempunyai agenda yang tersendiri pada hari raya iaitu dengan memikirkan cara yang terbaik untuk memperoleh habuan ‘duit raya’ sebanyak mungkin.
Daripada senario yang berlaku pada hari raya Aidilfitri di Malaysia, jelas menunjukkan masyarakat Islam di Malaysia menjadikan hari raya sebagai hari yang penuh kegembiraan! Namun, apa yang menjadi persoalannya ialah adakah kegembiraan pada hari raya itu disambut sebagai suatu kesyukuran di atas kemenangan dapat menjalani ibadah puasa atau semata-mata adat yang hanya dirayakan pada setiap tahun? Apa yang lebih menyedihkan terdapat golongan yang bukan sekadar menganggap hari raya sebagai suatu adat tahunan, tetapi melakukan perkara yang menyalahi syariat Allah.
Dalam keghairahan menyambut hari raya yang mulia wajar ia disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syarak dan tidak dicampur-adukkan dengan perkara yang dilarang atau yang diharamkan oleh Islam.
Dalam bahasa Arab, hari raya Aidilfitri disebut sebagai Id al-Fitr. Perkataan ‘Id’ bermaksud kembali, perayaan atau hari ulang tahun. ‘Fitr’ pula bermakna berbuka atau makan minum, iaitu pada hari raya (tanggal 1 Syawal) umat Islam dikehendaki untuk berbuka dan haram berpuasa. Fitr juga bermaksud fitrah atau tabiat semula jadi. Maksudnya ialah ibadah puasa yang dilakukan oleh seseorang itu sepanjang Ramadan disertai dengan ibadah lainnya seperti solat tarawih pada malam-malam Ramadan, bertadarus al-Quran, qiyamullail, zikrullah, berdoa, bersedekah dan sebagainya, akan melebur dan membersihkan segala dosa. Sehubungan dengan itu, pada 1 Syawal umat Islam akan kembali kepada fitrah sehingga keadaan mereka seolah-olah kembali bersih seperti bayi baru lahir.
Oleh yang demikian, hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya menundukkan nafsu amarah di sepanjang Ramadan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda mendapati penduduknya mempunyai dua hari perayaan untuk mereka bersukaria. Baginda pun bertanya: “Hari perayaan apakah ini?” Sahabat menjawab: “Kami menyambutnya dengan bersuka ria sewaktu pada zaman Jahiliah.” Lalu Rasulullah SAW pun bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menggantikan bagi kamu dua hari yang lebih baik daripada hari-hari tersebut, iaitu hari raya Aidiladha dan hari raya Aidilfitri.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Aidilfitri sekiranya disambut dengan adab yang digariskan syarak, sudah tentu ia bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malahan perayaan tersebut akan diberkati dan diredai oleh Allah SWT.
Antara adab menyambut hari raya Aidilfitri sebagaimana yang digariskan oleh syarak ialah menghidupkan malam hari raya dengan melakukan amal ibadah seperti mendirikan solat fardu secara berjemaah, melakukan solat sunat, bertakbir serta melakukan apa jua kebaikan dan kebajikan. Pada malam tersebut juga, hendaklah memperbanyakkan doa ke hadrat Ilahi. Al-Imam al-Syafii menegaskan dalam ‘al-Umm’ bahawa malam hari raya adalah di antara malam yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.
Kemeriahan hari raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dalam bulan Ramadan (29 hari atau 30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah SWT) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 185)
Namun, apa yang terjadi dalam masyarakat kita ialah takbir itu dilaungkan dalam keadaan sedih dan mendayu-dayu, sehinggakan ada yang menitiskan air mata kesedihan ketika bertakbir. Sepatutnya, takbir dilaungkan dengan lebih bersemangat demi melahirkan kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT. Allah memerintahkan agar diakui kebesaran dan keagungan-Nya melalui laungan takbir.
Pada pagi hari raya pula disunatkan mandi sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW mandi pada hari raya Fitrah dan hari raya Adha. Di samping itu, disunatkan juga memakai pakaian yang terbaik yang dimiliki, berwangian dan menghilangkan segala bauan yang tidak menyenangkan.
Sebelum keluar ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan Anas RA, beliau berkata bahawa: “Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi hari raya fitrah sehingga baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam bilangan yang ganjil.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
Solat hari raya Aidilfitri ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan oleh umat Islam pada pagi 1 Syawal. Hukum menunaikan solat ini sunat muakkad. Solat sunat hari raya disyariatkan pada tahun pertama Hijrah, namun kali pertama ia dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat sunat hari raya Aidilfitri pada tahun kedua Hijrah.
Ibnu Abbas juga menyatakan bahawa nabi Muhammad SAW menunaikan solat raya dengan tanpa laungan azan dan iqamah. Justeru, ulama berijmak dengan pensyariatan solat hari raya ini.
Menurut Dr Wahbah al-Zuhayliy dalam bukunya al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, para fuqaha bersependapat waktu untuk menunaikan solat hari raya ialah selepas terbitnya matahari sekadar segalah atau dua galah (iaitu kira-kira setengah jam selepas terbit matahari) sehinggalah sebelum tergelincirnya matahari iaitu sebelum masuknya waktu Zuhur.
Solat hari raya juga sunat ditunaikan di masjid, surau, padang atau di tempat lapang. Menurut ulama mazhab Syafii, yang paling afdal ialah ia ditunaikan di masjid kerana ia semulia-mulia tempat, namun sekiranya masjid tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai, maka bolehlah ditunaikan di tempat lain seumpama di padang atau di tempat lapang.
Akan tetapi, sesuatu yang menyedihkan berlaku dalam masyarakat kita ialah sambutan Aidilfitri lebih tertumpu dalam bentuk fizikal atau lahiriah sahaja, dan sesetengahnya tidak sesuai dengan roh pengajaran Islam.
Setiap individu Muslim wajib menilai kembali segala aktiviti yang berjalan pada hari raya selama ini. Ciri-ciri yang diambil daripada budaya luar Islam atau warisan budaya asing, yang tidak sesuai dengan akidah dan syar’ah Islam hendaklah ditinggalkan. Makanan, juadah dan kuih-muih boleh disediakan pada hari raya, tetapi hendaklah dalam bentuk yang sederhana. Demikian juga dengan perhiasan rumah, pakaian untuk diri dan anak-anak mestilah sesuai dengan kemampuan ekonomi keluarga.
Amalan ziarah-menziarahi pada hari raya adalah suatu tradisi yang disyariatkan di dalam Islam. Namun, amalan saling menziarahi di antara satu sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, jiran, para guru dan sahabat-handai sebenarnya tidak terbatas pada hari raya sahaja, tetapi ia perlulah dilakukan pada hari dan bulan lain yang sesuai dari semasa ke semasa.
Kanak-kanak pula perlu dididik agar mereka tidak mengunjungi rumah seseorang semata-mata untuk mendapatkan duit raya.
Sambutan hari raya sebenarnya bukanlah semata-mata kegembiraan atau keseronokan sahaja, tetapi yang lebih penting dan lebih utama untuk mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah SWT. Oleh itu, hiasilah Aidilfitri pada tahun ini dengan sesuatu yang bertepatan dengan hukum syarak.
Penulis Mufti Pulau Pinang
© New Straits Times Press (M) Bhd