PENYERANG prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva selangkah lagi untuk menobatkan dirinya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super selepas melakar satu lagi sejarah tersendiri pada musim 2024/2025.
Pemain import dari Brazil itu meledak lima gol ketika membantu Harimau Selatan membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 9-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi – sekali gus menamatkan saingan liga dengan 31 gol musim ini, satu rekod baharu dalam sejarah Liga Super Malaysia.
Dengan jumlah keseluruhan 104 gol sejak menyertai JDT pada 2021, Bergson kini hanya memerlukan tiga gol lagi untuk memintas rekod legenda tempatan, Indra Putra Mahayuddin yang kini memegang gelaran penjaring terbanyak sepanjang zaman liga.
“Saya amat gembira dengan pencapaian musim ini. Bukan mudah untuk menjaringkan 31 gol dalam satu musim. Lima gol malam tadi semuanya hasil kerjasama berpasukan,” katanya kepada pemberita.
Penyerang berusia 33 tahun itu turut menyifatkan disiplin dalam latihan dan kekal positif sebagai kunci kejayaannya musim ini.
Tambah Bergson, misi utama kini adalah mengekalkan rentak kemenangan JDT tanpa sebarang kekalahan liga serta fokus menghadapi dua baki perlawanan penting, aksi terakhir menentang Kuching City FC pada Rabu ini dan final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC (SPFC) pada 26 April.
“Sama ada saya akan cipta rekod atau tidak, itu bukan keutamaan saya sekarang. Saya mahu terus bekerja keras dan bantu pasukan capai kemenangan,” ujarnya.
Bergson turut merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukan, khususnya Arif Aiman Hanapi, Nazmi Faiz Mansor, Juan Muniz dan Heberty Fernandes yang banyak membantu mencipta peluang sepanjang musim ini.
OR