Bergson yang juga penyerang JDT boleh dinaturalisasikan untuk perancangan jangka pendek – Foto: FB JOHOR Southern Tigers
[DIKEMAS KINI] PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo boleh dinaturalisasikan untuk memperkuatkan Harimau Malaya.
Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, Bergson yang juga penyerang JDT boleh dinaturalisasikan untuk perancangan jangka pendek manakala Hidalgo yang kini beraksi di posisi sayap bersama Sri Pahang FC untuk perancangan jangka panjang.
Baginda juga percaya dengan kemampuan pasukan negara untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dibawah pengurusan baharu yang akan diumumkan nanti.
“Sistem atau falsafah yang sesuai dengan pemain yang ada. Jadi lebih kompak, menyerang dan bertahan sebagai satu unit.
“Disiplin adalah kuncinya, Insya-ALLAH boleh. Bergson boleh dinaturalisasikan untuk perancangan jangka pendek selepas cukup lima tahun beraksi di Malaysia.
“Hidalgo juga untuk perancangan jangka panjang bersama pemain yang lain. Semua pemain JDT juga sudah bersedia,” tulis baginda di InstaStory miliknya dan turut berkongsi gambar undian lengkap pusingan ketiga kelayakan Piala Asia yang berlangsung pada Isnin.
Pada majlis undian tersebut, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos yang memberikan sinar untuk pasukan negara layak ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.
Bergson yang juga penyerang berbisa JDT dan Hidalgo yang dipinjamkan ke Sri Pahang daripada JDT sudah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sejak 2021.