Berhasrat Tambah Anak Ketiga, Awal Ashaari & Scha Alyahya Serah Pada Rezeki – “Keinginan Tu Ada Tapi Perlu Tengok Pelbagai Faktor”

Berhasrat Tambah Anak Ketiga, Awal Ashaari & Scha Alyahya Serah Pada Rezeki – “Keinginan Tu Ada Tapi Perlu Tengok Pelbagai Faktor”


“Memang ada keinginan nak tambah anak tapi sebagai manusia perlu tengok pelbagai faktor,”

Demikian respons pelakon dan pengacara, Awal Ashaari yang secara terbuka mendedahkan dia mempunyai hasrat untuk menambah cahaya mata.

Awal atau nama penuhnya, Ahmad Awaluddin Haji Ashaari, 44, bagaimanapun menegaskan selain faktor kewangan dan umur, anak-anaknya bersama isteri, selebriti Scha Alyahya juga perlu bersedia menerima adik baharu.

“Memang ada keinginan untuk tambah anak. Saya tidak menolak, kalau ada rezeki Alhamdulillah. Sebagai manusia, macam isteri saya cakap tentang faktor umur, kewangan dan kesesuaian kena tengok sebab kami pernah ada anak yang jaraknya jauh.

“Bukan kami sahaja perlu bersedia, tetapi anak-anak juga kena bersedia untuk tiba-tiba menyambut kedatangan seorang lagi adik baharu,” katanya.

Awal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi beg tangan terbaru jenama Ayaya di ibu kota, semalam.

Sementara itu, Awal berkata dia dan Scha ada berbincang mengenai perkara tersebut pada penghujung tahun lalu, terutamanya memikirkan kondisi fizikal isterinya sebagai wanita mencecah usia 40-an.

“Kami ada berbincang hujung tahun 2025, Scha tanya sama ada betul ke kami berdua serius nak anak ketiga sebab sebagai wanita dia perlu bersedia dengan vitamin, tak boleh terlalu lasak atau aktif buat senaman intensif.

“Rutin dia perlu berubah untuk komited mendapatkan zuriat lagi, apa pun segalanya bergantung kepada rezeki,” katanya.

Dalam pada itu, Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, turut mendedahkan dia juga mempunyai keinginan tersebut namun perlu memikirkan soal faktor usia.

“Saya dah banyak kali bercakap dengan Awal isu ini di mana saya pun kadang-kadang teringin (tambah anak).

“Tapi saya dah menjangkau usia 40-an, saya rasa kalau ada rezeki saya tak menolak tapi saya tidak mencubalah sangat.

“Tidak mahulah kata tutup kilang. Kalau ada, ada. Kalau tak, saya reda saja,” katanya.

Sekadar info, Awal dan Scha berkahwin pada 4 Mei 2012 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Lara Alana, 12, dan Lyla Amina, 5.



Source link

OR

Scroll to Top