‘Beri Jonassen masa’ – Chong Wei

‘Beri Jonassen masa’ – Chong Wei


LEGENDA badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan bahawa Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen perlu diberikan masa yang mencukupi untuk melaksanakan perancangannya sebelum sebarang keputusan besar diharapkan.

Chong Wei berkata, Jonassen yang baru enam bulan memulakan tugas di Malaysia memerlukan ruang untuk menyesuaikan diri dengan budaya tempatan selain membentuk semula kekuatan barisan perseorangan negara yang kini dianggap kritikal.

“Kita tak boleh harap hasil segera. Ini bukan proses sebulan atau setahun. Sekurang-kurangnya satu penggal, iaitu empat tahun, barulah kita boleh lihat keberkesanan perancangannya.

“Macam anak baru lahir, nak tunggu berjalan pun ambil masa setahun. Ini kan pula nak lahirkan juara dunia,” katanya ketika ditemui selepas menerima pingat sempena Hari Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini pada Rabu.

Dalam majlis berkenaan, Chong Wei dikurniakan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Mengulas lanjut, Chong Wei berkata, prestasi perseorangan lelaki negara kini berada di tahap membimbangkan dengan jurang yang ketara berbanding pemain utama dunia.

“Kita hanya ada Lee Zii Jia yang baru pulih daripada kecederaan serta Ng Tze Yong yang sedang mendapatkan rawatan di Doha.

“Persembahan mereka pun masih belum stabil, begitu juga Leong Jun Hao yang (prestasinya) turun naik,” katanya.

Chong Wei berkata, beliau telah berjumpa dan berbincang dengan Jonassen bagi membincangkan tentang perancangannya terhadap pemain negara.

“Idea beliau sangat bagus dan saya setuju dengan perancangannya. Tetapi kita perlu beri beliau masa untuk melaksanakan rancangannya. Kita ada bincang bagaimana cara untuk membantu skuad perseorangan lelaki negara.

“Selain itu, kita kena beri masa untuk beliau menyesuaikan diri dengan budaya kita yang berbeza dengan budaya Eropah. Begitu juga dengan program latihan pemain, ia memerlukan masa,” ujarnya.

Sebelum ini, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wong Tat Meng dilaporkan berkata, Malaysia berisiko berdepan krisis dalam acara perseorangan jika tiada tindakan segera diambil terhadap kerapuhan dalam sistem pembangunan pemain remaja negara.

Amaran tegas itu disuarakan Tat Meng, 58 selepas beliau menyaksikan sendiri prestasi longlai skuad muda negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 di Solo, Indonesia yang menutup tirainya, pada 27 Julai lalu.

Menurut Tat Meng, kegagalan pemain negara sama ada dalam acara perseorangan lelaki dan wanita untuk mara ke suku akhir sebagai isyarat jelas sesuatu perlu diperbaiki segera dalam sistem pembangunan pemain muda di Malaysia.

Dalam pada itu, mengulas mengenai prestasi skuad remaja negara, belia berkata, bekas jurulatihnya, Datuk Tey Seu Bock turut memainkan peranan penting dalam membina pelapis muda untuk memastikan kesinambungan perseorangan negara.

“Kita sudah hantar pemain ke kejohanan junior dan nampak sedikit peningkatan, tetapi kita masih jauh ketinggalan.

“Yang penting sekarang ialah bagaimana kita nak tutup jurang itu secepat mungkin,” katanya.

Tambah Chong Wei, tahun depan bakal menjadi penentu kerana Malaysia akan beraksi dalam beberapa kejohanan utama seperti Piala Thomas dan Kejohanan Remaja Dunia.

“Kita harap dapat keputusan yang lebih baik pada tahun depan.

“Tetapi semua ini perlukan masa dan kesabaran,” ujarnya.

 



Source link

OR

Scroll to Top