BARU sahaja menerima bungkusan dan belum sempat mencubanya, namun jari laju sahaja menekan butang lima bintang memberikan penilaian.
Adakalanya ia turut dilatari dengan ulasan ringkas seperti ‘Barang nampak okey walaupun belum pakai’.
Semuanya gara-gara mahu mengejar ganjaran syiling atau diskaun pembelian seterusnya.
Sekali pandang, mungkin ia kelihatan remeh kerana sekadar satu ulasan ataupun penilaian ringkas. Namun, dari sudut pandangan Islam, perbuatan itu boleh membawa kesan besar terhadap kejujuran dan keberkatan dalam rezeki.
Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan bahawa memberi penilaian tanpa menggunakan barangan terlebih dahulu adalah satu bentuk penipuan yang dilarang dalam Islam.
Jelasnya, tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan pengguna lain, tetapi juga menjejaskan nilai kejujuran yang menjadi asas dalam setiap urusan jual beli.
“Ada pembeli, bungkusan baru saja sampai, terus bagi penilaian lima bintang siap dengan keterangan ‘Barang nampak okey walaupun belum guna’ atau letak gambar secara rawak semata-mata nak cukupkan syarat untuk mendapatkan ganjaran syiling.
MEMBERI penilaian tanpa menggunakan barangan terlebih dahulu adalah satu bentuk penipuan yang dilarang dalam Islam. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“(Perbuatan) ini dah jadi isu menipu sebab ulasan itu palsu. Orang lain yang melihatnya mungkin percaya (bahawa) barang tersebut memang berkualiti, sedangkan belum tentu pun. Ini boleh timbulkan salah faham dan menjejaskan kejujuran dalam jual beli,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook Bahagian Dakwah Jakim baru-baru ini.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala serta jauhilah perkataan yang dusta.” (Surah al-Hajj: 30)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Bukan daripada kalangan kami orang yang menipu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Bahagian Dakwah Jakim kemudian menukilkan pandangan Syeikh Muhammad Shamsul Haq Al-’Azim Abadi yang mengatakan, hadis itu jelas menunjukkan bahawa perbuatan menipu hukumnya adalah haram dan disepakati oleh para ulama.
Meskipun ganjaran syiling seperti Shopee Coins pada asalnya diharuskan, namun Bahagian Dakwah Jakim mengingatkan, ia tidak lagi dihukumkan harus apabila pengguna menulis palsu hanya untuk memenuhi syarat mendapatkan ganjaran tersebut.
Shopee Coins ibarat duit maya yang boleh dikumpul hasil pembelian, penyertaan dalam aktiviti aplikasi atau ulasan produk yang disertakan dengan gambar dan video dalam tempoh ditetapkan serta boleh digunakan sebagai diskaun harga semasa pembayaran.

APABILA membeli barang, berilah ulasan yang jujur agar meraih pahala dan keberkatan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Kalau kita dapat ganjaran syiling hasil daripada ulasan palsu atau tipu, maka ia haram digunakan. Kena biarkan saja sampai luput. Jangan guna untuk beli barang lain.
“Fatwa dari Dar al-Ifta’ Jordan juga menyebut perkara sama iaitu boleh ambil ganjaran ulasan, asalkan ulasan itu jujur dan tiada unsur penipuan,” terangnya.
Justeru, Bahagian Dakwah Jakim menitipkan pesanan agar kita memberikan ulasan yang jujur agar meraih pahala dan keberkatan.
“Ulasan palsu hanya dapat dosa dan ganjaran syiling yang tidak berkat. Jadi kalau baru buka bungkusan dan rasa teruja nak berikan ulasan cepat, sabar dulu. Cuba guna dulu barang itu, baru kongsi pengalaman sebenar.
“Tak dapat ganjaran syiling pun tak apa, yang penting dapat pahala sebab jujur. Bagi ulasan palsu, (platform) Shopee boleh perbaharui ganjaran syiling, tapi dosa kena ‘dipulangkan’ dengan taubat.
“Ingatlah, penilaian ‘bintang’ di dunia tak sama dengan pahala di akhirat,” pesannya.






