Joehari (gambar kecil) mengharapkan masa diberikan kepada projek revolusi untuk memperkasakan skuad bola sepak Harimau Malaya.
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Joehari Ayub mengharapkan masa diberikan kepada projek revolusi untuk memperkasakan skuad bola sepak Harimau Malaya.
Menurutnya, perancangan pasukan pengurusan baharu itu sedang rancak berjalan dan yakin akan membuahkan hasil untuk melihat peningkatan pasukan negara.
“Rencana (projek Harimau Malaya) dan perancangan yang kita ada daripada awal dan seperti kita lihat dalam media sebelum ini iaitu kita buat satu gabungan dengan ahli teknikal yang baharu dan mendapat sentuhan daripada Tunku Mahkota Ismail.
“Jadi, ia sedang berjalan dan kita bagi masa untuk perancangan ini berjalan,” katanya.
Projek revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilihat bakal membuka lembaran baharu kepada proses meningkatkan prestasi skuad negara di pentas antarabangsa.
Ia menyaksikan satu badan teknikal baharu dilantik bagi menguruskan Harimau Malaya dengan kehadiran bekas pemain Kanada Robert Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan.
Peter Cklamovski pula dilantik sebagai pengendali baharu Harimau Malaya dan bekas jurulatih Kedah, Nafuzi Zain untuk mengemudi skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.
Selain itu, beberapa pemain warisan juga dijangka memperkuatkan Harimau Malaya selain terdapat ura-ura beberapa pemain termasuk penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva akan dinaturalisasikan.
Joehari yang dilantik sebagai Presiden FAM baharu menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin juga menegaskan tumpuan kepada pasukan bola sepak negara akan menjadi agenda utamanya di sebalik beberapa misi lain yang sudah dirangka beliau.
“Kami di FAM akan memastikan segala perancangan Harimau Malaya ini akan berjalan lancar dan sudah tentu sasaran kita untuk layak ke Piala Asia nanti. Ia tidak mustahil untuk dicapai,” katanya.
Skuad negara di bawah revolusi baharu ini akan berdepan cabaran pertama pada kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan aksi Kumpulan F menentang Nepal pada 25 Mac depan.