September 8, 2024

‘Beriman dalam Islam, jangan menurut membuta tuli’

‘Beriman dalam Islam, jangan menurut membuta tuli’


Mohd Amar Abdullah
– Advertisement –

BERIMAN dalam Islam tidak boleh dengan menurut secara membuta tuli sahaja dan tidak berpada dengan taklid semata-mata, maka wajib menuntut ilmu untuk mengenal Allah SWT.

– Advertisement –

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kalau  tidak belajar, bagaimana mahu mengenal Allah SWT? 

“Apabila tidak kenal, jadi iman kita atas dasar apa? Maka, beriman harus dengan ilmu.

“Kita tidak boleh menurut orang sahaja. Orang sembah Allah, kita juga sembah. Orang solat, kita juga solat. Tidak tahu apa-apa mengenai Allah. Sedangkan Allah telah menerangkan mengenai diri-Nya di dalam al-Quran,” katanya.

Menurut beliau, dalam kisah Nabi Ibrahim, bapanya sendiri seorang pengukir berhala, tetapi baginda tidak mengikut bapanya sebab perbuatannya bercanggah dengan wahyu walaupun ada khilaf yang mengatakan bahawa itu bapa saudaranya. 

“Sama juga dengan Nabi Muhammad yang tidak mengikut bapa saudaranya yang menyembah berhala.

“Maka, kita juga seharusnya begitu dalam hidup. Cara berfikir mesti betul. Itulah tujuan Allah memberi akal kepada kita. Kalau kita buat tanpa menggunakan akal dan main turut orang sahaja, di manakah harga kita sebagai manusia?” kongsi beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Tambah beliau, sifat Dua Puluh merupakan salah satu kaedah dan hujah mempertahankan akidah daripada pemikiran falsafah.

“Ulama menyusunnya apabila Islam berdepan dengan Tamadun Barat seperti Rom dan Yunani. Kitab-kitab Greek diterjemahkan pada zaman Abbasiyah.

“Ibn Khaldun menyebut, tujuan ilmu kalam ini disusun adalah untuk menjawab serangan-serangan orang bukan Islam dan mempertahankan akidah. Bukan nak memperkenalkan orang kepada akidah.

“Kata ulamak, cukup dengan al-Quran untuk Allah memperkenalkan diri-Nya. Penghulu Segala Ayat Al-Quran adalah Ayatul Kursi. Allah menggambarkan diri-Nya siapa iaitu Tiada Tuhan kecuali Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri. 

“Dia tidak mengantuk dan tidak tidur. Tidak seperti kita, bukan sahaja mengantuk, sambil berbual di kedai kopi pun kita boleh tidur.

“Dia memiliki langit dan bumi. Kemarau dan banjir besar adalah kuasa Allah SWT. Bukan salah kita atau sesiapa. Allah boleh menahan air hujan sehingga suhu melebihi 37 darjah celcius. Negara-negara yang hebat sekalipun tidak mampu menghalang banjir daripada berlaku,” jelas Mohd Amar.

Beliau menyatakan lagi, Allah SWT berfirman, “Siapa yang boleh membela kamu esok-esok berhadapan dengan Aku, tiada siapa kecuali orang yang Aku beri izin.”

“Orang yang diberi izin itu ialah Nabi yang boleh memberi syafaat. Orang yang beriman dengan Nabi akan dikenalpasti dan Nabi meminta supaya Allah mengampunkannya.

“Keduanya ialah orang alim yang boleh memberi syafaat. Umpama kita nak masuk ke suatu tempat, hanya dengan orang yang tertentu, kita dapat masuk ke dalamnya. Oleh sebab itu, jangan kita buat main-main dengan orang alim. Walaupun dia juga ialah manusia biasa, namun tarafnya tidak sama dengan kita. Kedudukannya mulia di sisi Allah SWT.

“Ketiganya ialah orang yang menghafal al-Quran. Dia boleh memberi syafaat terutama kepada ibu dan bapanya. Ibarat budi bicara polis yang boleh melepaskan kita daripada dikenakan saman.”

Mohd Amar menegaskan, Allah SWT mengetahui apa yang ada di depan dan belakang manusia.

“Tidak boleh sorokkan apa-apa. Dia tahu belaka walau di mana sahaja kita berada. Kita tidak boleh mengenal Allah SWT  dengan sebenar-benarnya di dunia kecuali di akhirat. 

“Di akhirat, kita boleh melihat Allah SWT atau disebut sebagai ru’yatullah. Di dunia, kita tidak boleh mengenal-Nya dengan sebenar-benarnya kerana diri-Nya tersembunyi. 

“Pada zahirnya nampak, tetapi pada hakikatnya tersembunyi. Contoh yang nampak pada zahir adalah alam,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top