am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jika sebelum ini aktiviti berkelah sinonim dengan kawasan taman rekreasi atau lokasi pinggir bandar, tapi Suria KLCC tampil mengubah persepsi itu melalui penganjuran acara eksklusif Picnic in the Park, baru-baru ini.
Bertempat di Esplanade KLCC dan Taman KLCC yang menghadap kolam pancutan air ikonik Menara Berkembar Petronas, festival itu bukan sekadar pengalaman berkelah biasa, sebaliknya sebuah gaya hidup baharu yang mengetengahkan keselesaan, keindahan dan keterujaan dalam satu pakej santai eksklusif.
Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan, festival yang memasuki tahun ketiga, Picnic in the Park sebenarnya adalah acara istimewa meraikan pelanggan Suria KLCC yang berbelanja RM3,000 dalam dua resit bermula 13 hingga 29 Jun lalu. Setiap pelanggan layak menerima penyertaan picnic eksklusif untuk empat orang, bersama baucar e-F&B bernilai RM80 untuk dinikmati ketika festival.
“Di Suria KLCC, kami percaya dalam mencipta pengalaman yang melangkaui aktiviti membeli-belah. Picnic in the Park adalah cara kami menghargai pelanggan dengan menawarkan sesuatu yang benar-benar istimewa iaitu satu pengalaman yang unik di tengah-tengah kota,” katanya.
Sementara itu, satu ruang terletak di bawah khemah besar yang dihias indah dengan permaidani, meja, dekorasi tumbuhan hijau dan lampu tanah.
Manakala, satu lagi kawasan bertingkat pula menampilkan susun atur ala khemah dengan tikar, meja dan kusyen empuk, mewujudkan suasana santai yang ideal untuk menjamu selera atau menikmati perbualan hangat.
Pemandangan latar pancutan air berirama yang berkilau serta kehijauan taman menjadikan pengalaman ini lebih istimewa bukan sahaja sesuai untuk bergambar, malah sebagai terapi minda selepas seharian berdepan kesibukan kota.
Lebih daripada sekadar duduk bersantai, tetamu turut dihidangkan dengan pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.
Antaranya termasuk bengkel bancuhan minuman bersama Gong Cha, sesi rekaan beg kanvas (tote bag) mengikut kreativiti sendiri, analisis kulit percuma dan peluang disolek oleh jurusolek profesional menggunakan produk kosmetik jenama mewah.
Setiap tetamu turut menerima bakul berkelah eksklusif yang diisi pelbagai barangan menarik bersama baucar percuma, manakala pilihan hidangan yang ditawarkan merangkumi sajian Jepun, Thai dan Barat disusun rapi bagi memenuhi cita rasa pelbagai peringkat usia dan selera.
Menjelang petang, suasana bertukar nyaman dengan bayu sepoi-sepoi bahasa yang mendamaikan.
Ruang berkelah menjadi tempat ideal untuk membaca buku kegemaran, bermain kad atau sekadar menikmati makanan sambil berbual.
Tetamu juga bebas menebus makanan dan minuman pilihan serta tote bag secara percuma di reruai yang tersedia.
Tatkala malam menjelma, panorama di Taman KLCC berubah menjadi latar sinematik yang memukau.
Tiupan angin malam yang menyegarkan digabungkan dengan persembahan pancutan air berirama disinari cahaya berwarna-warni, mencetuskan suasana romantik dan mempesona.
Persembahan secara langsung oleh Orkestra Filharmonik Malaysia, pemuzik dan kumpulan buskers menghidupkan suasana malam dengan penuh magis, menjadikan setiap detik terasa lebih bermakna, beremosi serta sukar dilupakan.
Deretan lampu hiasan menyempurnakan landskap malam, menjadikan setiap inci taman bagaikan babak dari filem cinta yang indah, menenangkan dan penuh makna.
Persembahan Air Pancut Lake Symphony sebagai penutup malam yang sempurna untuk pengalaman penuh magis.
© New Straits Times Press (M) Bhd