Berkualiti dan berketerampilan, graduan fisioterapi UiTM jadi rebutan industri

Berkualiti dan berketerampilan, graduan fisioterapi UiTM jadi rebutan industri


Hubungan erat antara institusi pengajian tinggi dan industri menjadi kunci utama memastikan program akademik kekal relevan serta memenuhi keperluan pasaran kerja.

Justeru, Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam menganjurkan program temuduga khas ‘Physiotherapy Research Colloquium, Alumni Expert and Career Day 2025’ bagi pelajar tahun akhir, baru-baru ini.

Program dua hari itu memberi peluang kepada 54 pelajar tahun akhir membentangkan hasil kajian mereka sambil berinteraksi secara terus dengan pemain industri kesihatan.

Inisiatif tahunan itu turut menjadi platform penting untuk menilai kebolehpasaran graduan UiTM yang semakin mendapat perhatian majikan.

Lebih menarik, enam alumni fisioterapi UiTM yang berjaya dalam pelbagai cabang kerjaya termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), institusi kesihatan swasta dan institusi pendidikan tinggi swasta turut hadir berkongsi pengalaman menerusi sesi ‘PhysioBuddies: 6 Voices, 1 Story’. Kehadiran mereka memberi inspirasi kepada pelajar agar lebih yakin melangkah ke alam pekerjaan.

“Peluang seperti ini menghubungkan pelajar dengan realiti industri dan menyediakan mereka untuk masa depan yang lebih terarah,” kata Ketua Pusat Pengajian Fisioterapi UiTM, Dr Ida Hasni Shaari yang menekankan kepentingan hubungan dua hala universiti dan industri.

Sebanyak 18 rakan industri hadir termasuk Ocare Physio, Wall and Bone Wellness Sdn Bhd, Physiocare Malaysia, Integra Healthcare Technology Sdn Bhd, Alpro Physio Sdn Bhd, Regency Specialist Hospital, Argent Rehab Sdn Bhd, Chiropractic Specialty Center Setia Alam, Spine Solution Physiotherapy Center Muar dan Physiogo Sdn Bhd. Kehadiran mereka membuktikan graduan fisioterapi UiTM memiliki kebolehpasaran tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran.

Bagi pelajar, peluang itu ibarat pintu rezeki terbuka luas.

“Program ini sangat bermanfaat, terutama sesi bersama alumni yang memberi inspirasi dan keyakinan kepada kami. Saya amat bersyukur kerana sejurus selepas pembentangan poster, saya terus menerima lebih daripada dua tawaran kerja,” kata pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi (Kepujian).Hasan Abd Alim.

Wakil industri turut memuji kualiti graduan UiTM yang disifatkan memiliki kemahiran klinikal mantap, komunikasi berkesan dan sikap profesional tinggi.

Bagi memastikan graduan mematuhi keperluan profesion, ceramah khas mengenai Akta 774 iaitu Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 turut diadakan.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu KKM, Puan Jamilah Abdul Kuthoos mengingatkan fisioterapi adalah profesion kesihatan bersekutu yang tidak boleh diamalkan tanpa pendaftaran sah.

Menurut Pengarah Program, Puan Aiman Nadia Akmar, penganjuran itu bukan sahaja membuktikan komitmen UiTM melahirkan graduan relevan dan berdaya saing, malah menjadi platform mengekalkan hubungan strategik antara UiTM dan pemain industri demi memenuhi keperluan negara.

Majlis penutup disempurnakan Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Prof Dr Mohd Haidzir Abd Manaf yang menegaskan program seperti ini penting untuk melahirkan fisioterapi berkualiti tinggi yang bukan saja cemerlang secara teknikal, malah mampu menjadi pemimpin apabila berada di lapangan kerjaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top