Bermain 10 pemain sepanjang 80 minit satu perjuangan sukar

Bermain 10 pemain sepanjang 80 minit satu perjuangan sukar


Fortes meledak dua gol ketika Selangor menentang PDRM dalam perlawanan akhir pertama Piala Cabaran di Petaling Jaya.

SELANGOR tidak boleh rasa selesa walaupun berjaya menewaskan PDRM FC 3-2 dalam perlawanan pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berkata, skuad Gergasi Merah tetap akan turun dengan permainan agresif memburu kemenangan biarpun sedar keputusan seri sudah cukup untuk menjulang piala pada perlawanan akhir kedua Sabtu depan.

“Kami mahukan kemenangan, itu sahaja yang kami mahu. Tidak kira 1-0 atau 2-1, kami mesti bermain untuk menang.

“Sebagai seorang pemain profesional, apabila turun beraksi kami perlu fokus kepada kemenangan bukan untuk seri,” katanya.

Gergasi Merah sebelum itu melaungkan amaran awal apabila Alvin Fortes meledakkan gol pertama seawal minit ketiga.

Namun, tujuh minit kemudian kapten Selangor, Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kekasaran terhadap penyerang PDRM, Shahrel Fikri Fauzi.

Biarpun beraksi dengan 10 pemain, Selangor enggan mengalah dengan Fortes menggandakan jaringan pada minit ke-18.

Namun, kealpaan benteng pertahanan Selangor menyaksikan Shahrel Fikri merapatkan jurang pada minit ke-27 diikuti jaringan penyamaan Badrul Affendy Fadzli, pada minit ke-39.

Penyerang import, Ali Olwan muncul wira Selangor apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-51.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Kinoshi turut menyifatkan ia sebagai kemenangan bermakna apatah lagi terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk tempoh 80 minit perlawanan.

“Ia satu kemenangan besar. Bermain dengan 10 pemain sepanjang 80 minit perlawanan sememangnya satu perjuangan sukar. Namun, pemain berjaya membuktikan kemampuan mereka,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top