Gabungan penyanyi Mohd Mentor dan Zwen Superchild tampil memeriahkan Aidilfitri tahun ini dengan sebuah lagu raya baharu berjudul Huru Hara Raya yang dihasilkan khas sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka.
Menurut Mohd atau nama penuhnya Mohamad Izwan Mohamad Nor, 37, lagu tersebut menjadi lebih bermakna apabila proses rakamannya bermula hasil sokongan peminat sendiri yang menyumbang dana untuk mereka memulakan projek berkenaan.
Mohd berkongsi, idea meminta sumbangan itu pada awalnya sekadar gurauan ketika berbual dengan pengikut di media sosial. Namun, respons yang diterima membuatkan dia terkejut kerana ramai yang masih mempercayai kemampuannya untuk menghasilkan karya baharu.
“Sebenarnya pada awalnya saya hanya bertanya secara santai di media sosial, kalau ada yang masih mahu dengar lagu baru daripada saya. Saya juga sempat berseloroh meminta sumbangan.
“Tak sangka ramai yang membalas mesej dengan kata-kata semangat. Ada juga yang memasukkan wang walaupun hanya RM1 sebagai tanda sokongan.
“Bila nampak peminat masih memberi kepercayaan, saya rasa bertanggungjawab untuk menunaikan harapan itu. Dari situlah timbul semangat untuk merakamkan lagu raya ini,” katanya.
Selepas mendapat dorongan tersebut, Mohd kemudian menghubungi Zwen Superchild yang turut berkongsi hasrat sama untuk kembali aktif menghasilkan karya dan menghiburkan peminat.
Hasil sokongan yang diterima di media sosial, mereka berjaya mengumpul kira-kira RM607.50 daripada peminat. Pada masa sama, beberapa pihak penaja turut tampil memberikan kerjasama bagi membantu menampung kos rakaman termasuk pembikinan muzik video.
Zwen yang juga komposer lagu tersebut tidak menunggu lama untuk memulakan proses penghasilan karya berkenaan.
“Proses menghasilkan lagu ini berjalan agak pantas. Selepas berbincang dengan Mohd, saya terus mencari idea untuk membawa sesuatu yang berbeza.

“Selama ini saya lebih banyak menghasilkan lagu yang bernuansa jiwang atau ketuhanan, tetapi kali ini kami memilih pendekatan komedi supaya lagu raya ini lebih santai dan menghiburkan.
“Kami juga mengajak beberapa personaliti media sosial untuk terlibat sama. Nama kami mungkin sudah lama tidak muncul, jadi kerjasama ini sedikit sebanyak membantu mempromosikan lagu ini,” ujarnya.
Antara personaliti media sosial yang turut memeriahkan projek tersebut ialah Amir Lala, Syiqin Zaidi, Unoo Yuno, Hakak Karipap dan Ayieb Ismail.
Zwen turut menyifatkan lagu raya ini sebagai langkah permulaan untuk dia dan Mohd kembali serius dalam menghasilkan karya baharu selepas ini.
“Lagu Janjinya Syurga sebelum ini agak dikenali, tetapi ramai yang masih belum benar-benar mengenali siapa Zwen. Jadi dengan adanya lagu raya ini, saya harap lebih ramai yang sedar tentang kehadiran saya dalam industri muzik.

“Selama ini saya banyak bekerja di belakang tabir, namun minat untuk menyanyi tidak pernah hilang. Sebab itu saya rasa sudah tiba masanya untuk tampil dengan lagu baru.
“Saya dan Mohd juga sudah berbincang untuk terus merakam beberapa lagu lagi selepas ini. Harapnya ada peluang untuk terus berkarya dan memperkenalkan bakat kami kepada lebih ramai pendengar,” katanya.
Untuk rekod, lagu Huru Hara Raya dihasilkan bersama oleh Zwen dan Mohd, manakala muzik videonya mula ditayangkan di saluran YouTube Havana Hunana Music pada 6 Mac lalu.






