Bermulanya revolusi Harimau Malaya

Bermulanya revolusi Harimau Malaya


Tunku Ismail dilihat menjadi watak penting menggerakkan revolusi Harimau Malaya.

PELANTIKAN dua individu penting iaitu pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih bawah 23 tahun (B-23) negara menandakan bermulanya revolusi pasukan kebangsaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan dua individu itu merupakan langkah pertama memacu pasukan kebangsaan ke arah yang lebih baik.

“Perubahan dan pembaharuan untuk memantapkan aspek pengurusan, penggunaan teknologi dan perubatan serta melantik jurulatih-jurulatih baharu yang berperanan terhadap para pemain kebangsaan.

“Fasiliti pengurusan dan pasukan perubatan akan ditambah baik dan bakal menerima nafas yang baharu di bawah penstrukturan semula FAM.

“Ini adalah sebahagian inisiatif-inisiatif serta perubahan bagi melaksanakan struktur organisasi baharu untuk Harimau Malaya,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, perancangan untuk merevolusikan Harimau Malaya telah diutarakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut berkongsi struktur baharu pengurusan skuad kebangsaan dalam laman media sosial milik baginda.

Ia menjadi kenyataan pada hari ini dengan pengumuman Cklamovski sebagai pengendali Harimau Malaya dan Nafuzi sebagai pengendali skuad B-23 negara.

Tunku Ismail yang juga Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam InstaStory milik baginda pada Ahad turut menjelaskan satu pengumuman akan dibuat untuk jawatan ketua pegawai eksekutif dan pengarah teknikal dalam masa terdekat.

Malah, akan ada perbincangan dengan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai pemain warisan yang beraksi di luar negara berpotensi menyarung jersi Harimau Malaya.



Source link

OR

Scroll to Top