Madrid: Pelumba Colombia, Egan Bernal dari pasukan Ineos Grenadiers muncul juara peringkat ke-16 Vuelta a Espana selepas perlumbaan terpaksa ditamatkan 8 kilometer (km) lebih awal berikutan gangguan penunjuk perasaan pro Palestin sebentar tadi.
Bernal menewaskan pelumba tuan rumah, Mikel Landa (Soudal Quick-Step) dalam pecutan ke garisan penamat baharu, manakala Brieuc Rolland (Groupama-FDJ) menamatkan saingan di tempat ketiga.
Menurut pengumuman rasmi Radio Vuelta, keputusan itu diambil selepas berlaku protes besar di laluan asal perlumbaan, tiga kilometer sebelum garisan penamat di Castro de Herville.
Terdahulu, protes serupa menyebabkan penganjur membatalkan keputusan peringkat ke-11 apabila perlumbaan hanya dibenarkan berakhir 3km lebih awal di Bilbao.
Insiden membabitkan penunjuk perasaan pro Palestin juga pernah mengganggu peringkat ke-10 sehingga menyebabkan seorang pelumba terjatuh serta peringkat kelima acara ujian masa berpasukan apabila skuad Israel Premier Tech dihalang sekumpulan aktivis yang membawa bendera Palestin.
© New Straits Times Press (M) Bhd