BERSATU lantik 5 MPT anggotai Lembaga Rayuan

BERSATU lantik 5 MPT anggotai Lembaga Rayuan


nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Petaling Jaya: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini melantik lima individu untuk menganggotai Lembaga Rayuan sekali gus memperkukuhkan hala tuju parti dalam kadar segera.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama kepimpinan parti bagi memastikan setiap langkah yang diambil selepas ini lebih tersusun dan berfokus, khususnya membabitkan pelaksanaan keputusan strategik di peringkat tertinggi parti.

“Apa sahaja cadangan yang dibawa ke Lembaga Rayuan ini kita akan lihat mana yang sesuai atau berpatutan, kita akan laksanakan.

“Mereka yang dilantik ini adalah dalam kalangan Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT), mereka ini akan beri satu cadangan kukuh untuk dilaksanakan dalam tempoh segera,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT, di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Antara yang dilihat hadir ialah Timbalan Presiden Parti BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ahli MPT BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Rosol Wahid.

Sementara itu Mohamed Azmin dalam kenyataan medianya memaklumkan Lembaga Rayuan itu akan dipengerusikan olehTan Sri Azhar Bin Azizan@Harun.

Ia turut dianggotai oleh Datuk Seri Zulkifli Noordin, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Datuk Dr Haji Abdul Latiff Bin Ahmad dan Datuk Fahimee Ismail.

Ditanya mengenai kemelut yang melanda BERSATU, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata mesyuarat bersepakat supaya mencari jalan segera untuk menyatukan kembali ahli sebagai satu jamaah yang cukup padu dan kuat.

“Kerana kami memikirkan soal utama iaitu kebajikan rakyat. Keutamaan kita adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Jadi sebab itu kita memerlukan satu pasukan yang cukup kuat. Jadi kita bersetuju supaya elakkan daripada apa-apa tindakan.

“Kami sedar perkara itu dan bersetuju supaya (kemelut) ini dihentikan. Tidak ada lagi apa-apa yang harus dibangkitkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top