Bersatu Parit Buntar dibubarkan, 980 ahli dijangka keluar parti.

Bersatu Parit Buntar dibubarkan, 980 ahli dijangka keluar parti.


PARIT BUNTAR: Bersatu Bahagian Parit Buntar dibubarkan malam ini selepas kepimpinan bahagiannya mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti di peringkat pusat.

Ketua Bahagian Bersatu Parit Buntar, Md Nayan Salleh berkata, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat khas yang diadakan pada 5 Ogos lalu membabitkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Bersatu Parit Buntar.

Menurutnya, pembubaran bahagian itu dijangka akan menyebabkan seramai 980 ahli Bersatu Parit Buntar daripada 15 cawangan turut keluar parti.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sebuah premis di Jalan Permatang Tok Mahat di sini malam ini.

Md Nayan berkata, tindakan tersebut diambil susulan keputusan dan tindakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang disifatkan tidak selaras dengan semangat perjuangan parti.

Katanya, keputusan kepimpinan pusat itu bercanggah dengan nilai perjuangan parti yang berteraskan slogan “Bersatu, Beramanah, Bermaruah”.

“Keputusan ini dibuat kerana kami telah hilang kepercayaan terhadap AMT Bersatu Pusat berikutan tindakan dan keputusan yang diambil semasa PRN Negeri Sembilan.

“Kami berpendapat tindakan tersebut telah bercanggah dengan nilai-nilai perjuangan parti sekali gus menjejaskan keyakinan kami terhadap kepimpinan parti di peringkat pusat,” katanya.

Beliau berkata, mereka sebagai ahli yang sentiasa menjunjung Perlembagaan Bersatu serta prinsip perjuangannya tidak lagi mempunyai keyakinan bahawa kepimpinan AMT Pusat sedang memelihara nilai dan amanah yang menjadi asas perjuangan parti.

Ketika ditanya sama ada kumpulan yang keluar parti itu berhasrat menyertai mana-mana parti politik lain, Md Nayan berkata, setakat ini mereka belum membuat sebarang keputusan.

“Buat masa ini kami belum bercadang menyertai mana-mana parti. Beri ruang kepada kami untuk berehat sementara dahulu. Jika selepas tempoh itu kami membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti, kami akan memaklumkannya kemudian,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top