Bersatu perlu rangka strategi kemampuan tadbir negara – Wan Saiful

Bersatu perlu rangka strategi kemampuan tadbir negara – Wan Saiful


KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu segera merangka strategi dan melaksana gerak kerja yang dapat meyakinkan rakyat akan kebolehan dan kemampuan parti itu memimpin negeri dan negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipilih semula, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, era di mana undi rakyat diberikan kepada Bersatu kerana protes kepada parti lain sudah tamat.

Sebaliknya, tegas beliau, rakyat mahu melihat kompetensi dan kemampuan Bersatu dan parti itu akan kalah jika terus mengharap kepada undi protes.

“Saya menyeru semua ahli Bersatu agar kembali merapatkan saf dan memperkukuh kesatuan kita sebagai sebuah keluarga besar.

“Kekuatan kita terletak pada kesatuan fikrah dan kesatuan amal. Jika dapat disuburkan, Insya-Allah rakyat akan memberi kepercayaan kepada kita untuk memimpin,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.

Dalam pemilihan Bersatu semalam, Wan Saiful selagi lagi dipilih sebagai salah seorang daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu penggal baharu.

Sementara itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu bukan sahaja mesti membawa suara akar umbi tapi mesti turut menjuarai agenda reformasi yang sudah dilupakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri-menterinya.

Ujarnya, pemimpin Bersatu perlu menunjukkan kepada rakyat yang mana Malaysia akan jadi lebih baik sekiranya Perikatan Nasional (PN) memimpin negara.

“Kita mesti lebih vokal menyuarakan polisi-polisi alternatif untuk membangunkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat, kerana kerajaan PH-BN hari ini sudah terlalu nyata kegagalannya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengajak semua pemimpin Bersatu bermuhasabah mengenal pasti kelemahan parti, baik daripada segi pengurusan mahupun perjalanan pemilihan.

Ujarnya, ahli Bersatu juga perlu menggunakan saluran dalaman untuk menyelesaikan semua perkara dan tidak membawanya keluar sehingga boleh digunakan oleh musuh untuk menyerang parti sendiri.

“Kita juga mesti mengenal pasti, melatih dan membentuk barisan pelapis kepimpinan parti dan bakal-bakal calon pilihan raya seberapa awal yang mungkin.

“(Ini) Agar parti kita bersedia pada bila-bila masa untuk sebarang kemungkinan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top