July 19, 2024

Bersatu serah notis kekosongan luar jangka DUN Selat Klang kepada Speaker

Bersatu serah notis kekosongan luar jangka DUN Selat Klang kepada Speaker


SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menyerahkan notis bertulis berkenaan kekosongan luar jangka kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Notis diserahkan kepada Lau Weng San oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu pertemuan di Wisma Dewan Negeri petang ini.

Ia susulan perkembangan Datuk Abdul Rashid Asari kini bukan lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Sehubungan itu, Mohamed Azmin berkata, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Speaker mempunyai tempoh 21 hari untuk membuat pemakluman kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Di sini saya telah menjelaskan kepada speaker tentang status Datuk Abdul Rashid yang tidak lagi menjadi ahli Bersatu, ini menjadikan beliau terhenti menjadi ahli ADUN Selat Klang dan kerusi itu hendaklah dikosongkan,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, beliau turut menyerahkan dua dokumen tambahan untuk membantu Speaker DUN meneliti perkara berkenaan.

“Dua dokumen itu adalah pemakluman keperluan ahli Bersatu mematuhi arahan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi)  bertarikh 17 Mei yang mana Abdul Rashid diberi dua minggu untuk mematuhinya. Malangnya setelah tamat tempoh itu beliau gagal dan ingkar maka 12 Jun 2024, Bersatu keluarkan notis pemakluman bahawa keahliannya terhenti serta-merta,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, Weng San memberi jaminan akan meneliti notis kekosongan yang diterimanya hari ini.

“Beliau juga telah memberikan pengakuan semua dokumen dan lampiran tambahan akan diteliti dengan cermat dan keputusan akan dibuat berdasarkan undang-undang,” tambahnya.

Sebagai rekod, Abdul Rashid sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top