HARI ini kita masih dikurniakan nikmat umur yang panjang, kesihatan yang berkekalan dan sekali lagi sampai ke tahun baharu 1446H. Semuanya dengan limpah kurniaan Allah SWT yang mengizinkan kita semua untuk terus hidup di atas muka bumi ciptaan-Nya ini.
Dialah yang berkuasa atas segala-galanya, Dia berhak untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Nikmat hidup yang masih berbaki dalam hidup kita ini adalah satu ketentuan di sisi-Nya seperti yang kita yakini melalui kerangka pengajian rukun Iman iaitu al-Iman bi al-Qada’ wa al-Qadr (percaya dengan qada’ dan qadar).
Aspek iman ini hanya anugerah Allah SWT kepada orang mukmin yang menjadi teras akidah yang membezakannya dengan orang kafir, justeru meyakini segala ketentuan Allah SWT adalah merupakan salah satu daripada syarat kesempurnaan akidah Islam seorang muslim.
Mensyukuri nikmat Allah SWT tidak sekadar dengan ucapan Alhamdulillah, tetapi menurut Imam al-Ghazali bahawa menzahirkan tanda syukur mestilah dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT seperti pelaksanaan rukun Islam di samping menggandakan amalan yang mustahabbah (sunat) seperti solat sunat, bersedekah, membaca al-Quran, berlaku ihsan kepada semua makhluk dan sebagainya (Bidayah al-Hidayah).
Jika kita berterima kasih kepada pertolongan manusia, maka kita tidak hanya mengucapkan terima kasih sahaja tetapi kita sewajarnya membalas budi orang lain dengan sekurang-kurangnya menolongnya pula atau balasan yang lebih dari itu.
Jadi, bagaimana pula sepatutnya kita membalas nikmat Allah SWT sebagai Tuhan?
Pertama – Bersyukur dengan hati
Yakin dan menghayati segala pemberian Allah SWT dengan rasa penuh kegembiraan, reda dan terima seadanya. Syukur hati bukan hanya apabila dikurniakan kesenangan, bahkan juga bersyukur dalam kesusahan yang diuji dengan hati yang sabar dan mengharap ganjaran daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl: 53 bermaksud: “Apa sahaja nikmat yang kamu perolehi, maka sebenarnya ia (nikmat itu) daripada Allah. Kemudian apabila kamu ditimpa dengan kesusahan, maka mohonlah pertolongan daripada-Nya.”
Justeru, bersyukurlah ketika waktu susah dan senang kerana kedua-duanya itu datang daripada Allah SWT. Hamba yang bersyukur akan melihat apa sahaja pemberian tuhan sebagai nikmat, sama ada susah mahupun senang.
Kedua – Bersyukur dengan lidah
Lidah ialah anggota lembut yang tidak bertulang, maka ucapan yang keluar daripada lidah orang bersyukur mestilah yang bersifat al-khayr (kebaikan).
Rasulullah SAW berpesan melalui sebuah hadis daripada al-Khuzaie RA bahawa: “Tanda orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat ialah bercakap perkara yang baik atau diam sahaja” – (Riwayat Muslim).
Perkataan al-khayr (kebaikan) ialah berkata perkara yang suka didengari oleh telinga dan tenang di hati orang yang mendengar, perkataan yang mendekatkan kasih sayang dan merapatkan hubungan antara manusia.
Jauhi perkataan yang mengundang sifat mazmumah seperti menipu, menabur fitnah, mengadu domba dan menuduh secara palsu yang sebenarnya perkataan ini merupakan lisan orang yang mengkufuri nikmat.
Lidah orang yang bersyukur bukan melazimi ucapan Alhamdulillah sahaja, tetapi ucapan itu terbit bersama dengan amalan lidah yang mahmudah seperti sentiasa berzikir mengingati Allah SWT, membaca al-Quran dan banyak berdoa memohon pertolongan, perlindungan dan pengampunan daripada Allah SWT.
Ketiga – Bersyukur dengan perbuatan
Berusaha melakukan kebajikan dan segala bentuk al-amr bi al-ma’ruf wa al-nahy ‘an al-munkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar).
Azamlah tahun baharu ini untuk kita berusaha melakukan kebaikan untuk diri, keluarga dan masyarakat.
Contohnya, azam untuk mendirikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid, menghadiri majlis ilmu, bersedekah setiap hari dan sebagainya. Peringkat keluarga pula seperti azam untuk makan bersama, solat bersama atau penambahbaikan jadual harian keluarga yang lebih efektif. Kemudian, barulah tanamkan azam untuk mengajak orang lain pulak bersama melakukan kebaikan seperti rakan sekerja, jiran tetangga dan kenalan di media sosial.
Manfaatkan anggota badan kurniaan tuhan untuk bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya dengan beribadah.
Hayatilah firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7: “Jika kamu bersyukur dengan nikmat-Ku, Aku pasti menambahkan lagi nikmat itu kepada kamu.” Ia jelas menunjukkan bahawa orang bersyukur tidak akan rugi sebaliknya akan ditambah lagi dengan nikmat yang banyak.
Umpama orang yang bersedekah kepada ibu bapanya, yakinlah bahawa rezekinya tidak akan berkurang bahkan Allah SWT akan membalasnya dengan nikmat yang lebih banyak.
Ketahuilah nikmat Allah SWT sangat luas, ia bukan hanya wang ringgit tetapi ia boleh jadi kesihatan tubuh badan, umur yang panjang, rumah tangga yang bahagia, ilmu yang mudah difahami dan ibadah yang khusyuk.
Namun jika kita kufur dengan nikmat Allah SWT, maka ingatlah bahawa azab Allah SWT sangat berat. Semoga kita menjadi lebih baik di tahun baharu ini, baik dari aspek hati, lidah dan perbuatan. Insya-Allah. – HARAKAHDAILY 26/7/2024