Susulan pemecatan Hamzah Zainudin semalam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan pelantikan dua naib presidennya, Mohd Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu, bagi menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

Muhyiddin seru ahli BERSATU kekal tenang
Menerusi kenyataan rasmi, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebulat suara bersetuju dengan pelantikan itu.
“Saya menyeru seluruh ahli BERSATU supaya kekal tenang dan terus memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan yang ada untuk mengemudi parti kembali ke landasan perjuangan asalnya dalam membela nasib rakyat.
“Saya yakin, dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan kepada perjuangan parti, kita akan mampu mengharungi apa jua cabaran dan dugaan yang mendatang,” katanya.

Muhyiddin tegaskan tindakan disiplin demi kukuhkan parti
Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat 17 ahlinya termasuk Hamzah yang juga anggota Parlimen Larut. Turut dipecat ialah ahli MPT seperti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Fathul Huzir Ayob dan Azahari Hasan, dua ADUN termasuk Zainol Fadzi Paharudin dan Dr Mohd Yadzil Yaakub, serta sembilan ketua bahagian dan beberapa pemimpin bahagian lain.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata mesyuarat khas MPT turut membincangkan langkah memperkukuh parti susulan tindakan disiplin itu.
Beliau menegaskan tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme untuk memastikan Bersatu kekal stabil, kukuh dan berintegriti, dan bukan dibuat sewenang-wenangnya.
“Sebagai presiden dan pengasas Bersatu, saya memikul tanggungjawab besar untuk memastikan parti ini terus kukuh dan berada di landasan perjuangannya yang sebenar.
Saya dan rakan-rakan seperjuangan sejak awal penubuhan parti tidak rela melihat Bersatu dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Selama bertahun-tahun saya mengambil pendekatan berhemah menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman dan tekanan dari dalam parti sendiri.
“Saya juga memberi ruang kepada individu yang mempunyai perbezaan pendapat dengan saya demi perpaduan dan kestabilan parti, namun usaha tersebut tidak dihargai dan tindakan bercanggah dengan perlembagaan terus dilakukan,” katanya.

Artikel lain: “Alhamdulillah. Minum petang di Rusila” -Hamzah Zainudin
Tegas Muhyiddin lagi, beliau bersama barisan kepimpinan Bersatu berpendirian sudah tiba masanya proses disiplin yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti dilaksanakan sebagai langkah terbaik pada masa ini.






