Milan: Pengurus Real Madrid Carlo Ancelotti memberi amaran bahawa pasukannya perlu meningkatkan corak permainan mereka menjelang Pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas tewas 1-2 di tangan Real Betis sambil mengganggap kekalahan itu sebagai “tamparan hebat” kepada harapan mereka untuk merangkul gelaran LaLiga.
Madrid terlepas peluang untuk mendahului LaLiga, kekal dengan 54 mata setara dengan pendahulu Barcelona dan satu mata di hadapan Atletico Madrid di tempat ketiga, yang kedua-duanya mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Ancelotti mengkritik prestasi buruk pasukannya di stadium Benito Villamarin dan berkata persembahan serupa di tempat sendiri bertemu Atletico pada perlawanan pertama Liga Juara-Juara hari Selasa akan memberi kesan buruk.
“Ini adalah tamparan hebat, kami perlu bangkit semula. Kekalahan pada ketika ini dalam musim adalah sukar kerana semua pasukan berada dalam prestasi terbaik dan kami tidak bermain dengan bagus dalam perlawanan ini.
“Kami hilang bola pada separuh masa pertama dan Betis kembali dalam permainan. Jika kami bermain seperti ini, kami pasti tidak akan menang pada hari Selasa.
“Saya harap ini akan menjadi peringatan. Nampaknya kebelakangan ini kami lebih teratur, lebih padat, dan hari ini kami tidak dapat melakukannya seperti dalam perlawanan sebelumnya,” kata pengurus Itali itu kepada wartawan.
Ancelotti menjelaskan keputusannya untuk memasukkan Endrick menggantikan penjaring gol terbanyak pasukannya Kylian Mbappe pada penghujung perlawanan, mengatakan penyerang Perancis itu tidak dapat berlatih sepenuhnya disebabkan masalah pergigian.
“(Mbappe) mempunyai masalah minggu ini dan tidak banyak berlatih serta tidak berada pada tahap terbaiknya.
“Untuk mengelakkan masalah, saya menariknya keluar dan menggantikan dengan Endrick, yang berada dalam bentuk baik,” tambah Ancelotti mengenai remaja Brazil itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd