REAL Betis dilaporkan berusaha untuk mengekalkan khidmat Antony selepas pemain sayap itu menunjukkan prestasi cemerlang bersama kelab La Liga tersebut.
Antony yang dipinjamkan dari Manchester United pada jendela perpindahan Januari lalu, berjaya menghidupkan kembali kariernya di Sepanyol apabila membantu Los Verdiblancos melonjak ke zon kelayakan Eropah dalam saingan La Liga.
Prestasi konsisten pemain Brazil itu mendorong Betis untuk mengemukakan tawaran baharu kepada United.
Menurut laporan The Telegraph, pihak pengurusan Betis telah menghubungi United dengan cadangan memperbaharui pinjaman Antony bagi musim 2025/2026, kali ini dengan komitmen menanggung sebahagian besar daripada gaji pemain tersebut.
Selain itu, Betis turut mencadangkan klausa pembelian tetap pada akhir musim pinjaman, sebagai usaha untuk memastikan Antony kekal lebih lama di Estadio Benito Villamarín.
Bagaimanapun, laporan dari England menyatakan bahawa United cenderung untuk menolak tawaran tersebut.
Kelab gergasi England itu dikatakan hanya berminat untuk melepaskan Antony secara tetap dan tidak bercadang untuk meminjamkannya lagi pada musim panas ini.
United telah menetapkan harga jualan Antony pada nilai €40 juta (RM204 juta) dan mana-mana kelab yang mampu memenuhi tuntutan tersebut bakal memperoleh khidmat pemain berusia 24 tahun itu.
OR