Pelakon Beto Kusyairy terbuka menerima pelbagai reaksi penonton terhadap filem komedi terbaharu lakonannya, Libang Libu, termasuk segelintir yang menonton dengan tujuan mencari kelemahan.
Menurut Beto, dia tidak menghalang pandangan tersebut kerana setiap penonton berhak memberi penilaian sendiri. Namun, dia melihat pendekatan itu sebagai sesuatu yang merugikan pengalaman menonton.
“Saya tak ada masalah kalau ada yang nak cari salah, itu hak masing-masing. Tapi pada saya, rugilah kalau kita tengok sesuatu karya semata-mata untuk cari kekurangan,” katanya.
Tambahnya, sikap datang dengan jangkaan tertentu, terutama selepas membaca komen atau ulasan positif, boleh mempengaruhi cara seseorang menikmati filem.
“Bila kita datang dengan niat nak cari apa yang tak kena, kita sebenarnya dah tutup ruang untuk menikmati cerita itu. Mungkin kita dah baca komen yang kata filem ini sangat kelakar atau dapat rating tinggi, jadi kita datang dengan expectation yang besar.
“Bila apa yang kita tengok tak sama dengan jangkaan, kita mula fokus pada kelemahan. Memang susah nak enjoy kalau datang dengan mindset macam tu,” jelasnya.

Dalam masa sama, Beto percaya pengalaman menonton akan lebih bermakna jika penonton hadir dengan sikap lebih santai dan terbuka.
“Kalau kita tengok dengan hati yang lebih terbuka, nak enjoy dan hayati cerita, kita akan nampak perkara yang lebih halus. Ada emosi dan perincian yang cuba disampaikan dalam setiap babak,” ujarnya.
Beto turut menjelaskan Libang Libu bukan sekadar filem komedi ringan, sebaliknya membawa sentuhan emosi yang diharapkan dapat menyentuh hati penonton.
“Kita bukan nak bagi mesej yang berat sangat, tapi kita harap ada rasa ‘terjentik’ dalam diri penonton. Mungkin lepas tengok, dia mula sedar sesuatu tentang diri sendiri, seperti cara kita menilai orang lain.
“Itu antara rasa yang kita harap penonton boleh bawa keluar dari pawagam,” katanya.

Dalam pada itu, Beto menegaskan mereka tidak pernah memaksa penonton untuk menerima sepenuhnya apa yang cuba disampaikan.
“Kami hanya sampaikan apa yang kami buat. Kalau penonton boleh terima, Alhamdulillah,” katanya.
Libang Libu tampil dengan keunikan tersendiri apabila menggunakan loghat Perak sebagai identiti utama, sekali gus memberi warna berbeza dalam landskap filem komedi tempatan.
Diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Bobby Husaini, Libang Libu ditayangkan di pawagam bermula 23 April ini.
@xtra_my Wah, ramainya pelakon, lebih 20 bintang tuu! Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Ozlynn, Nabila Huda, Datuk Razak Ahmad, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khatijah Tan, Nadia Aqilah, Anas Ridzuan, Kodi Rasheed, Syazwan Zulkifly, Zahiril Adzim, Azhan Rani, Sara Ali, John Bear, Wan Chai, Joyce Harn, Alvin Wong, Bront Palarae, Khir Rahman, Niezam Zaidi, Fadhli Masoot, Haidar Hasanudin, Han Zalini, Kween Keela, Datuk Yusof Haslam, Rahamat Akmal, Nadiya Nisaa & ramai lagi. Barisan aktor & aktres ini menjayakan filem Libang Libu arahan Bobby Husaini yang bakal muncul di pawagam tidak lama lagi. #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
Naskhah ini membawa penonton menyelami kisah sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung Melayu di Perak. Pertembungan budaya, agama dan gaya hidup menjadi nadi utama penceritaan, disulami dengan elemen komedi dan drama yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.
Menampilkan barisan pelakon mantap seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman, Azhan Rani dan ramai lagi, filem ini turut diserikan dengan penampilan khas Datuk Yusof Haslam, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa.





