Pelakon, Betty Banafe meluahkan rasa kesal apabila konflik mahkamah melibatkan bekas suaminya, Bruce Dargus masih berlarutan sehingga lapan tahun dan memberi kesan kepada anak-anak mereka.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Betty atau nama lengkapnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe memuat naik video memaparkan situasi tegang apabila bekas suami bersama ahli keluarga dan peguam hadir ke kediamannya, dipercayai bagi mengambil anak-anak.
Menurut Betty, tindakan tersebut berpunca daripada laporan yang didakwa palsu dibuat oleh bekas suaminya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung isu penderaan.
“Inilah dia bila bekas suami meroyan, jadikan anak sebagai umpan buat laporan palsu JKM atas pertuduhan dera anak-anak dan pembantu.
“Satu van penuh wakil dengan pakar psikologi untuk anak-anak dan orang tua datang buat soal selidik, namun akhirnya mereka akui tiada unsur penderaan dan perwatakan semua sangat positif,” katanya.
Dalam pada itu, Betty turut meluahkan rasa terkilan apabila anak-anak didakwa terkesan dengan situasi berkenaan sehingga berasa keliru.
“Saya dah cukup sabar. Sekarang anak-anak rasa tertipu dan terpaksa berdepan perbualan negatif setiap kali berjumpa keluarga bekas setiap minggu bergilir,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sepanjang proses perceraian sebelum ini, dia tidak pernah menuntut sebarang nafkah termasuk mutaah, idah mahupun harta sepencarian demi mengelakkan konflik berpanjangan.
Namun, isu berkenaan terus berlarutan apabila bekas suaminya didakwa masih meneruskan tindakan undang-undang.
“Dah lapan tahun saya turun naik mahkamah hampir setiap bulan dengan melayan karenah 17 kes saman yang difailkan, termasuk lima komital.
“Kenapa tak fokus sahaja pada masa depan dan kebajikan anak-anak, daripada buang duit berperang di mahkamah hanya untuk rebut kuasa penuh hak jagaan?” katanya.





