'Betulkan' hidung di luar negara, tapi baiki semula di Malaysia

'Betulkan' hidung di luar negara, tapi baiki semula di Malaysia


nurul_husna@hmetro.com.my

TINDAKAN rakyat Malaysia yang memilih menjalani prosedur perubatan estetik di luar negara kerana berpendapat lebih murah boleh merisikokan diri mereka mengalami komplikasi.

Perkara itu dikongsikan Pengarah Saintifik Persidangan Perubatan & Pembedahan Estetik (AMSC) Malaysia 2025 yang juga Presiden Persatuan Perubatan Estetik Malaysia, Dr Tingsong Lim dalam satu temu bual berkenaan trend rakyat Malaysia memilih menjalani rawatan di luar berbanding mendapat khidmat kepakaran tempatan.

Menurut Dr Tingsong, dia pernah menerima beberapa kes dirujuk membabitkan komplikasi atau kegagalan prosedur pembedahan dijalankan termasuk trend terkini iaitu Rhinoplasty Surgery atau pembedahan pembentukan semula hidup.

“Saya pernah menerima kes membabitkan pesakit yang sudah menjalani pembedahan estetik hidung di luar negara seperti Korea Selatan dan Thailand, tetapi mengalami masalah atau komplikasi lebih buruk.

“Pada mulanya mungkin mereka mahu ‘betulkan’ hidung atas tujuan estetik atau kesihatan tertentu, tetapi pembedahan itu gagal menyebabkan terpaksa menjalani rawatan semula di Malaysia.

“Kepakaran atau pembedahan plastik di Malaysia, kita ada kepakaran dan pelaksanaan bagus membuatkan kualiti terutama khidmat untuk perubatan atau kesihatan cukup baik.

“Malah negara luar contohnya negara serantau seperti Indonesia dan juga Timur Tengah memilih kepakaran di sini,” katanya ketika Persidangan Perubatan dan Pembedahan Estetik Malaysia ke-4 (AMSC Malaysia 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Beliau menjelaskan prosedur pembedahan plastik seperti Rhinoplasty Surgery (pembedahan hidup) bagi sesetengah kes bukan hanya untuk estetik malah memiliki kepentingan dalam kesejahteraan serta kesihatan individu.

Difahamkan pembedahan hidung juga selain tujuan estetik ia penting untuk penyelesaian kepada masalah pernafasan disebabkan gangguan pada struktur dalam hidung.

Pakar itu menyarankan pesakit atau rakyat Malaysia yang mahu menjalani prosedur perubatan estetik di luar negara perlu meneliti kredibiliti pusat rawatan dan pakar perubatan yang memberi khidmat dalam rawatan estetik terbabit.

“Perlu lebih teliti dan cakna dalam memastikan kredibiliti pengamal perubatan estetik itu bertauliah serta memiliki lesen yang sah.

“Kebimbangan ialah prosedur itu dilaksanakan individu yang tiada kepakaran yang akhirnya merisikokan nyawa dan kesihatan pesakit.

“Pernah timbul isu individu menjadi buta, mengalami masalah kulit yang serius dan banyak lagi apabila mendapatkan khidmat pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu peranan di peringkatnya ialah pihaknya sentiasa meningkatkan tenaga kepakaran tempatan menerusi pelbagai program Perubatan dan Pembedahan Estetik menerusi program perkongsian ilmu bersama pengamal perubatan serantau.

“AMSC Malaysia 2025 antara usaha persatuan untuk mempersiapkan Malaysia selaku pemain industri yang memiliki peranan besar dalam membentuk masa depan perubatan estetik.

“Kepakaran global seperti PINOKIO Asia di Malaysia mempertemukan pakar bedah plastik terkemuka di bawah organisasi Plastic Innovative Nasal Oromaxillofacial Korean International Organisation dari Korea Selatan.

“Selain penyertaan delegasi Persatuan Perubatan Estetik Singapura mengukuhkan lagi kerjasama Malaysia dan Singapura dalam landskap perubatan estetik ASEAN,” katanya.

Persidangan itu turut menghimpunkan lebih 1,600 delegasi dari lebih 30 negara untuk memacu hala tuju baharu dalam bidang perubatan estetik.

Kedudukan Malaysia sebagai destinasi kesihatan turut diperkukuh prestasi pelancongan perubatan yang semakin berkembang.

Pada tahun lalu, negara merekodkan sekitar 1.6 juta pesakit antarabangsa, peningkatan 14 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan hasil dianggarkan sebanyak RM2.72 bilion.

Momentum ini disokong pelancaran kempen Malaysia Year of Medical Tourism 2026 (MYMT 2026) baru-baru ini yang menyasarkan kutipan hasil antara RM12 hingga RM15 bilion menjelang 2030, dipacu inisiatif seperti kemudahan visa dan Flagship Medical Tourism Hospital Programme (FMTH) yang memudahkan akses pesakit antarabangsa kepada rawatan berkualiti tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top