Perbezaan usia sebanyak 21 tahun tidak menjadi penghalang buat pelakon cantik Indonesia, Olla Ramlan untuk meneruskan hubungan cinta yang sedang dibina bersama teman lelakinya, Tristan Molina.
Aktres drama bersiri Walid yang kini berusia 46 tahun itu berkata, walaupun Tristan seusia dengan anak sulungnya, Sean Mikael Alexandar, 25, hubungan mereka diterima baik oleh anak-anak.
Menurut Olla yang memegang watak Raras Kartika dalam drama Walid, sikap matang dimiliki Tristan menjadi antara faktor yang membuatkan dia selesa untuk berkawan rapat dan seterusnya menjalinkan hubungan serius.
“Anak saya sebenarnya lebih tua lima bulan daripada Tristan, tetapi soal rezeki, jodoh dan maut semuanya rahsia Allah.
“Saya juga sudah dua kali melalui alam perkahwinan dan perceraian. Tiada siapa pun berkahwin dengan niat mahu berpisah, tetapi kita tak tahu siapa yang akan hadir dalam hidup, sama ada yang lebih muda atau sebaya.
“Jadi saya cuma teruskan hidup seperti biasa. Apa yang penting, saya bekerja demi anak-anak dan masa depan mereka.
“Saya sendiri tak sangka akan bertemu dengan Tristan. Jadi buat masa ini saya hanya jalani hubungan ini sebaiknya,” katanya yang baru beberapa bulan menjalin hubungan serius dengan aktor dan model profesional itu.
Olla berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Viu Together Gather dan Iftar yang berlangsung di Serai Hall, KLGCC Mall, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah Olla, meskipun Tristan jauh lebih muda, lelaki itu mempunyai pemikiran yang matang selain memiliki sikap baik yang membuatkannya tertarik.
“Dia seorang yang matang, mungkin kerana sudah bekerja sejak usia 16 tahun dan hidup berjauhan daripada keluarga.
“Dia juga insan yang baik. Kalau dia bukan seorang yang baik, tentu saya tidak akan memilih untuk bersama dengannya.
“Anak saya, Sean pun rapat dengannya malah mereka seperti kawan baik. Anak perempuan saya yang masih kecil juga selesa dan mesra dengan Tristan.
“Apa yang buat saya tertarik adalah sikap rendah diri dia. Dia juga bukan jenis yang terlalu memikirkan apa orang cakap,” katanya.
Bagaimanapun, Olla menjelaskan mereka masih belum memikirkan soal perkahwinan kerana hubungan yang terjalin itu masih lagi baharu.
Dalam masa sama, Olla turut berkongsi pengalaman pertamanya bekerja dengan produksi Malaysia menerusi siri Walid untuk platform penstriman Viu.
Katanya, pengalaman tersebut memberikan suasana kerja yang berbeza selain membuka ruang untuknya bekerjasama dengan pelakon dan kru produksi tempatan.
Menurut Olla, cabaran terbesar sepanjang penggambaran bukanlah melibatkan babak bersama watak Walid yang dibawakan Faizal Hussein, sebaliknya berkait dengan penggunaan bahasa.
“Semua pelakon termasuk Faizal Hussein dan kru di set sangat baik dan mesra. Mereka menyambut saya dengan sangat positif walaupun saya satu-satunya pelakon dari Indonesia di lokasi.

“Cabaran utama sebenarnya ialah bahasa kerana semua orang di set menggunakan bahasa Malaysia.
“Saya perlu terjemahkan dahulu skrip ke dalam bahasa Indonesia supaya lebih mudah untuk saya faham dan menghayati watak yang diberikan,” katanya.
Selain bahasa, Olla berkata lokasi penggambaran juga agak mencabar kerana sebahagian besar proses penggambaran dijalankan di kawasan hutan di Perak.
“Lokasi penggambaran memang agak mencabar kerana kami banyak menjalani penggambaran di dalam hutan di Perak,” katanya.






