Biar ada strategi untuk kembang karier

Biar ada strategi untuk kembang karier


norhayati_nordin@hmetro.com.my

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah perjalanan karier seni penyanyi dari Singapura, Iskandar Ismail, 47, yang dinobatkan juara Gegar Vaganza Ke-12 (GV12), baru-baru ini.

Iskandar berkata, dia pada awalnya tidak mahu menyertai program realiti hiburan itu, namun atas restu diberikan oleh isteri menyebabkannya berubah fikiran untuk mencuba.

“Saya sebenarnya tak nak masuk GV12. Tetapi, atas kebenaran dan sokongan daripada isteri membuatkan saya sertai juga. Sebab, isteri dah beri restu dan saya amat menghormatinya.

“Bagaimanapun, saya tetap berasa sedih apabila melihat riak wajah isteri yang setia datang ke Malaysia setiap minggu untuk memberi sokongan. Termasuk, anak-anak dan keluarga yang turut berkorban.

“Saya juga bersyukur kerana dapat banyak doa yang baik-baik daripada peminat di Singapura yang sudah mengenali saya sejak menceburi bidang nyanyian pada 2001 sehingga sekarang,” katanya.

Menurut Iskandar, dia bangga mewarisi bakat nyanyian bapanya, Allahyarham R Ismail iaitu seorang penyanyi lagu irama Melayu dan asli pada era 1950-an yang pernah menjadi penyokong kuatnya.

Sering menyertai pertandingan nyanyian di negara kelahirannya, Iskandar memberitahu sehingga kini dia sudah menghasilkan album.Ditanya kesediaan untuk berhijrah ke Malaysia bagi mengembangkan karier nyanyian, Iskandar memaklumkan buat masa ini dia membuat keputusan untuk berulang-alik sahaja.

“Walaupun saya ada pengurusan karier di sini (Malaysia), lebih baik sekiranya berulang-alik dari Singapura ke Malaysia dulu buat masa sekarang kerana bergantung rezeki juga.

“Insya-Allah, jika ada rezeki saya di sini dan kalau diberikan peluang memang saya hendak bekerja keras bagi memastikan dapat memenuhi permintaan pasaran, cuma biarlah bergerak perlahan.

“Pengurusan pun sudah merancangkan beberapa projek akan datang dan sejujurnya saya memang tidak sabar ingin melaksanakannya. Syukur pada rezeki.

“Saya pun bakal masuk studio untuk beberapa rakaman lagu secara solo dan duet dengan penyanyi wanita dipilih pihak pengurusan,” katanya.

Mengulas mengenai wang kemenangan RM100,000, Iskandar berkata, dia sudah berniat ingin memberi sumbangan bagi membantu golongan memerlukan seperti anak-anak yatim.

“Insya-Allah, ini doa dan hajat saya. Harapan saya agar Allah mempermudahkan semuanya sebab dulu di Singapura pun saya pernah hulur sumbangan kepada pesakit kanser,” jelasnya.

Menurut Iskandar, apa yang pasti harapannya untuk mendapat peluang bekerjasama dengan Jaclyn Victor kerana kagum terhadap vokal dan cara nyanyian penyanyi lagu Gemilang itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top