Bicara kes bunuh Cikgu Istiqomah disebut semula pada 23 Disember, tunggu laporan DNA, bedah siasat

Bicara kes bunuh Cikgu Istiqomah disebut semula pada 23 Disember, tunggu laporan DNA, bedah siasat



am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, menetapkan 23 Disember ini sebagai tarikh baharu sebutan semula kes peniaga mata wang asing (forex) yang berdepan tuduhan membunuh guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, pada Disember lalu.

Majistret Dr Teoh Shu Yee menetapkan tarikh itu selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri yang memaklumkan dokumen penting iaitu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat masih belum diperoleh.

Permohonan itu disokong peguam, Ahmad Nur Awalluddin Zakaria yang turut menyarankan supaya mahkamah memberikan masa panjang iaitu pada 1 Januari depan bagi pendakwaan menyediakan semua dokumen diperlukan.

Terdahulu, tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, hadir di mahkamah, jam 9 pagi dengan mengenakan baju-T dan seluar putih serta memakai pelitup muka dengan kawalan anggota polis.

Pada 19 Ogos lalu, dia yang juga bekas guru didakwa kali pertama di mahkamah dan hari ini, ditetapkan untuk sebutan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bela.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pembunuhan terhadap Istiqomah Ahmad Rozi di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, di sini, antara 26 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023.

Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, hendaklah dipenjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top