PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki skuad Harimau Selatan selepas tersingkir di tangan Buriram United dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), pada Selasa.
Menurutnya, barisan pemain juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu telah memberikan aksi terbaik, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
“Kami tahu ia merupakan perlawanan sukar. Pemain telah memberikan 100 peratus, tetapi inilah bola sepak.
“Kadangkala kita bermain dengan baik, tetapi keputusan tidak berpihak kepada kita. Sekarang, kami perlu terus bekerja keras dan berkembang,” katanya selepas aksi timbal balik kedua Pusingan 16 ACLE di Stadium Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, harapan JDT untuk mara ke suku akhir ACLE musim ini tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada gergasi Thailand yang dikendalikan Osmar Loss.
Gol tunggal pemain lincah, Suphanat Mueant pada minit ke-58 sudah cukup untuk membawa Thunder Castle ke suku akhir dengan agregat 1-0 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Chang Arena pada 4 Mac lalu.
Ditanya mengenai corak permainan, Bidoglio menjelaskan pasukannya cuba mengawal perlawanan serta melancarkan serangan sebaik mungkin.
“Niat kami adalah untuk terus menekan dan mengikut corak permainan lawan. Kadangkala kami menyerang, kadangkala bertahan, mencuba pelbagai strategi.
“Namun, seperti yang saya katakan, bola sepak penuh dengan situasi tidak dijangka,” katanya.
Biarpun kecewa cabaran JDT berakhir di pusingan 16, Bidoglio tetap berbangga dengan usaha yang ditunjukkan pemain.
Beliau turut menghargai kerja keras anak buahnya sepanjang latihan dan mengakui kekalahan ini menjadi pengajaran buat pasukan.
“Saya sedih untuk peminat dan pengurusan kelab kerana kami mahu memberikan kegembiraan kepada mereka.
“Tetapi begitulah bola sepak, kadangkala menang, kadangkala kalah. Yang penting, kami terus bekerja dan tidak berputus asa,” katanya.
Jelas beliau, skuad Harimau Selatan masih perlu menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal bagi menghadapi cabaran di peringkat tertinggi kelab Asia.