Bidoglio enggan dabik dada menang besar

Bidoglio enggan dabik dada menang besar



rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio enggan mendabik selepas barisan pemainnya mudah meratah pasukan Liga A1 Semi Pro, Malaysian University FC 5-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang semalam.

Pengendali kelahiran Argentina itu menyifatkan baki 90 minit pada aksi kedua nanti cukup penting untuk menoktahkan slot ke separuh akhir walaupun skuad yang bergelar Harimau Selatan tampak begitu selesa selepas melakar kemenangan besar ke atas anak didik Ridzuan Abu Shah.

“Masih belum selesa lagi walaupun kami berkelebihan dengan kemenangan 5-0 kerana dalam permainan bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan saya mahu pastikan rentak kemenangan diteruskan apabila kami sekali bertemu 5 Julai nanti.

“Apa yang pemain tempuhi tampak sukar terutama di babak pertama apabila pasukan lawan beraksi terlalu bertahan sehingga sembilan pemain berada di kawasan pertahanan dan ia menyukarkan kami untuk menembusi benteng lawan.

“Di babak kedua, kami menemui ruang untuk bergerak dan melakukan serangan bertali arus dengan asakan bermula di posisi tengah dan kemudian beralih di posisi sayap kiri dan kanan yang membuka ruang untuk menjaringkan empat gol,” katanya.

Bidoglio juga tidak menafikan corak permainan bertahan Malaysian University FC cukup berdisiplin namun ada ketika mereka begitu leka dan kesempatan itu diambil bagi menjaringkan gol malah beliau juga berpuas hati dengan barisan pemain JDT yang keseluruhan pemain simpanan beraksi konsisten dalam perlawanan itu.

Tambahnya, peluang untuk memberi pemain simpanan yang jarang mendapat minit permainan membuktikan JDT dibarisi pemain yang berkualiti dan sentiasa bersedia diturunkan dalam apa jua perlawanan.

“Untuk aksi kedua nanti, kami perlu berlatih bagi persiapan aksi kedua dan saya bersama jurulatih lain akan memfokus bagi meningkatkan lagi intensiti permainan dan bakal memilih pemain yang sesuai beraksi menentang lawan yang sama 5 Julai nanti,” kata Bidoglio.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top