KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memilih untuk tidak terlalu memikirkan aksi final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC, sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan terakhir Liga Super menentang Kuching City FC, Rabu ini.
Menurut pengendali dari Argentina itu, biarpun perlawanan akhir bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan, namun beliau memilih untuk mengambil pendekatan satu perlawanan pada satu masa.
“Buat masa ini, kami hanya mahu tumpukan kepada perlawanan terakhir Liga Super menentang Kuching City FC pada Rabu ini. Mereka bukan lawan mudah kerana menunjukkan peningkatan dari segi prestasi,” katanya selepas kemenangan besar ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) malam Khamis.
Dalam aksi terakhir di Stadium Sultan Ibrahim musim ini, skuad Harimau Selatan berpesta gol apabila membelasah KDN FC 9-0, sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah musim ini.
Bidoglio meluahkan rasa puas hati terhadap prestasi pemain yang menunjukkan komitmen tinggi dan intensiti permainan konsisten, walaupun berdepan pasukan di kedudukan tercorot liga.
“Saya gembira dengan keberkesanan ‘set-piece’ yang kami latih. Semua perancangan diterjemah dengan baik di atas padang,” ujarnya.
Mengulas mengenai ledakan lima gol oleh Bergson da Silva dalam babak pertama, Bidoglio menyifatkan penyerang import dari Brazil itu sebagai bukan sahaja prolifik di depan gol, tetapi turut mempunyai etika kerja tinggi dan semangat berpasukan.
“Bergson bukan sekadar penjaring. Dia juga membantu menekan pertahanan lawan dan mencipta ruang untuk rakan sepasukan. Saya tekankan supaya dia terus fokus kepada permainan berpasukan, dan dia berjaya lakukannya,” katanya.
JDT kini hanya selangkah lagi untuk menamatkan musim Liga Super tanpa kalah, sebelum beralih fokus kepada misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dalam pertemuan getir menentang Sri Pahang FC pada 26 April nanti.
OR