September 8, 2024

Bidoglio nafi kontroversi kad merah ‘bantu’ kemenangan JDT

Bidoglio nafi kontroversi kad merah ‘bantu’ kemenangan JDT


PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menafikan kemenangan skuad kendaliannya itu banyak dibantu dengan keputusan kontroversi yang menyaksikan pemain Terengganu FC diperintahkan keluar padang akibat layangan kad merah pada minit ke-31.

Malah katanya, skuad Harimau Selatan itu telah beraksi baik sejak wisel permulaan dengan membuka jaringan menerusi pemain import, Heberty Fernandes seawal minit ke-6.

“Pemain kami telah beraksi baik sejak mula dan walaupun seorang pemain lawan dilayangkan kad merah, kami sudah pun mendahului 1-0.

“Malah, kami turut mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan mengasak hebat ke gawang lawan sebelum keputusan tersebut dibuat.

“Selain itu, kami meneruskan aksi cemerlang itu pada babak kedua dengan menambah lagi jaringan ini membuktikan usaha keras pemain yang beraksi penuh bersemangat bagi meraih kejayaan. Ternyata, faktor kejayaan itu kami sendiri yang tentukan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Bagaimanapun, biarpun berdepan 10 pemain, JDT dilihat tetap berdepan kesukaran bagi menembusi benteng pertahanan TFC sehinggalah pada minit ke-64 dan seterusnya pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemenangan.

Sementara itu, Bidoglio turut berbangga dan berpuas hati dengan aksi penyerang import, Bergson Da Silva yang meledak hatrik pada aksi berdepan TFC.

Katanya, perkara tersebut secara keseluruhannya memberikan petanda bahawa penyerang itu kini sudah kembali pada prestasi terbaik bagi membatu pasukan melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.

Steinbruckner enggan melatah

Dalam pada itu, pengendali Terenggangu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner tidak mahu cepat melatah insiden layangan kad merah terhadap pemain pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili yang didakwa mengasari penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva.

“Saya tidak mahu cepat melatah,” katanya.

Menurut Steinbruckner, biarpun keputusan pengadil, Fitri Maskon itu menjejaskan sedikit perancangan taktikalnya, namun pemain masih mampu beraksi mantap bagi menyaingi asakan-asakan tuan rumah.

Katanya, dia akan melihat dan melakukan reviu sebelum membuat sebarang tindakan susulan berhubung perkara tersebut.

“Kekalahan 0-4 kepada JDT ini memang cukup mengecewakan malah gol awal oleh Heberty Fernandes di awal permainan bagaikan beri semangat buat JDT menekan benteng TFC yang terpaksa berhempas pulas menangkis segala gerakan berbahaya dari kedua belah sayap serta posisi tengah.

“Barisan pemain kita juga kerap melakukan kesilapan individu yang membuka ruang kepada pemain-pemain JDT seperti Bergson Da Silva sempat untuk mendada bola tanpa pemain TFC memberikan ‘tekanan’ kepadanya.

“Malah, ketiadaan Safawi Rasid dan Akhyar Rashidn selain Ivan Mamut dan Safwan Mazlan yang mengalami kecederaan dilihat turut menjejaskan persiapan pasukan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan pada Jumaat.

Sementara itu, Steinbruckner tanpa berselindung mendedahkan bahawa seorang pemain import baharu akan dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad Peteh Terengganu Peteh itu.

“Perancangan sudah untuk bawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan kedua nanti.

“Mungkin dari Croatia, tapi buat masa ini, saya tak dapat dedahkan lagi kerana masih terlalu awal,” katanya.

“Saya memang gembira dengan prestasi yang ditunjukkannya. Dia bukan sahaja mampu mencipta jaringan, bahkan pada hari ini dia bermain secara berpasukan.

“Selain itu, dia juga berusaha keras memberi tekanan kepada pertahanan, saya cukup berpuas hati,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top