Bidoglio puas tumbangkan juara Liga K1 Korea

Bidoglio puas tumbangkan juara Liga K1 Korea



rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio jelas teruja apabila pasukan bimbingannya melakar kejutan selepas menewaskan Ulsan HD FC 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Malah pengendali kelahiran Argentina itu menghambur pujian terhadap barisan pemainnya yang begitu komited dan mengikut perancangan taktikal untuk menumbangkan juara Liga K1 Korea yang baru sahaja dinobatkan pada Jumaat lalu.

Beliau menegaskan bukan tugas mudah untuk menewaskan kelab dari Korea Selatan itu yang memiliki reputasi hebat selaku juara tiga musim berturut-turut sejak 2022 tatkala mengakui ia perlawanan sukar buat skuad Harimau Selatan.

“Saya puji kesungguhan setiap pemain yang diturunkan pada malam ini (malam tadi) kerana kerap berkomunikasi antara satu sama lain dan apa yang penting ketika beraksi di padang mereka pantas menutup ruang pemain lawan dan memahami falsafah permainan yang diinginkan kelab.

“Malah pemain juga bermain dengan disiplin permainan yang konsisten selain begitu dinamik dan kemenangan yang diraih pastinya menggembirakan penyokong yang menjadi pencetus semangat buat kami apabila berdepan Ulsan HD FC.

“JDT ada falsafah permainan terutama bermain di kawasan pasukan lawan serta sentiasa mengawal bola. Jika pemain kehilangan bola, mereka perlu dapatkan semula dalam tempoh lima saat. Ini penting untuk kekalkan rentak permainan dan berusaha mengelak lawan mendominasi di posisi tengah,” katanya.

Ditanya mengenai persembahan tiga serangkai benteng pertahanan yang menjadi tunjang utama kekebalan posisi itu tatkala gandingan Eddy Israfilov, Park Jun-heong dan Shane Lowry yang berjaya mematah serangan Ulsan HD FC, Bidoglio menyifatkan ketiiga-tiga pemain itu beraksi dengan cemerlang pada perlawanan itu.

“Kami mempunyai barisan pertahanan yang baik dalam pasukan dan semua pemain tahu cara bermain. Kami bermain secara agresif dan tahu bila hendak menukar corak serta rentak permainan kerana saingan ACLE begitu sukar dan kami tidak mempunyai masa untuk berasa selesa,” tambahnya.

Mengulas mengenai Bergson da Silva dan Jorge Obregon yang beraksi pada perlawanan itu, Bidoglio berpuas hati dengan kualiti persembahan kedua-dua pemain apabila Bergson masuk menggantikan Obregon pada pertengahan babak kedua.

“Bergson dan Obregon adalah dua pemain berbeza tetapi bermain di posisi yang sama dan saya suka dengan kedua-dua pemain ini. Kesemua pemain serangan yang lain juga berkualiti dan atmosfera di bilik persalinan sangat baik,” kata Bidoglio.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top