Biduanita Negara kena orang serba boleh, saya belum layak – Ziana Zain

Biduanita Negara kena orang serba boleh, saya belum layak – Ziana Zain


PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Ziana Zain, merasakan dirinya belum layak untuk dicalonkan sebagai penerima gelaran Biduanita Negara.

Bagi Ziana, 56, anugerah tersebut hanya layak diberikan kepada anak seni yang serba boleh baik dari bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

“Saya baru 30 tahun dalam industri, belum layak jika diberikan gelaran Biduanita Negara. Perjuangan saya dalam industri ini pun belum sampai setengah abad.

“Banyak lagi senior saya yang lebih sesuai kerana mereka sudah lakukan pelbagai perkara dan bekerja kerjas pada zamannya.

“Cuma pada masa kini mereka tidak kedepan, jadi orang tidak tahu. Saya takut ada perasaan tidak adil kepada senior kita. Mereka adalah inspirasi untuk kami jadi lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ziana berkata demikian bagi mengulas mengenai namanya yang disebut sebagai antara anak seni yang layak menyandang gelaran Biduanita Negara.

Bagi penyanyi Madah Berhelah itu lagi, lumrah bagi peminat untuk memperjuangkan artis mereka, namun urusan pemilihan Biduanita Negara biarlah ditentukan oleh kearifan panel juri.

“Datuk Sharifah Aini memang layak bergelar Biduanita Negara kerana bakat dan penglibatannya dalam bidang suara, pengacaraan dan lakonan. Itupun mengambil masa bertahun-tahun sebelum diiktiraf.

“Biarlah gelaran itu diberikan oleh orang yang arif dalam penilaian kepada artis yang benar-benar layak.

“Kita tak boleh calonkan diri sendiri. Peminat memang mahukan yang terbaik buat artis kesayangan mereka, namun mereka adik-adik yang mungkin tidak faham maksud sebenar gelaran tersebut.

“Saya belum boleh terima gelaran itu, ia terlalu besar,” tambahnya.

Terdahulu, perbincangan mengenai gelaran Biduanita Negara menjadi hangat apabila peminat mencadangkan agar gelaran tersebut diberikan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi respons baik dan berkata pihaknya akan membuat penilaian penganugerahan itu.

Untuk rekod, gelaran Biduan dan Biduanita Negara adalah penganugerahan kepada anak seni oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Sehingga kini, hanya dua penyanyi legenda yang pernah menerima gelaran tersebut antaranya Allahyarham Saloma yang dianugerahkan pada tahun 1978, Allahyarham Sharifah Aini (2006), dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013).





Source link

OR

Scroll to Top