PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengukir lembaran baharu dalam sejarah sukan tradisi itu dengan menganugerahkan Bihar hak penganjuran Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia 2025.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Bihar 2025 bukan sekadar penganjuran sebuah kejohanan, malah manifestasi visi badan induk itu untuk membawa sepak takraw ke Olimpik.
Bihar 2025 juga tegasnya, melambangkan perjuangan dalam kalangan komuniti sukan sepak takraw untuk meraih pengiktirafan di tertinggi dunia selepas New Delhi 1982 menjadi titik tolak pengiktirafan sepak takraw di Sukan Asia.
“Ini bukan sekadar kejohanan, tetapi simbol harapan dan perjuangan sepak takraw untuk diiktiraf di pentas Olimpik.
“Sejarah ini juga amat penting kerana ia mengingatkan kita bahawa India bukan sekadar penonton, sebaliknya juga pemangkin kepada pengiktirafan sepak takraw di peringkat tertinggi tadbir urus sukan Asia,” katanya semasa sidang media di sebuah hotel di Patna, Bihar, India pada Selasa.
Piala Dunia Sepaktakraw Bihar 2025 yang disertai 20 negara termasuk tuan rumah India, juga dijayakan Brazil, China, Taiwan, Perancis, Indonesia, Itali, Iran, Jepun, Malaysia, Myanmar, Nepal, New Zealand, Poland, Singapura, Sri Lanka, Switzerland, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam, berlangsung dari 20 hingga 25 Mei.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) itu juga turut menyuarakan keyakinannya bahawa legasi India dalam sukan sepak takraw akan berterusan.
“Kami percaya India akan menjadi rakan kongsi utama dalam perjalanan kami ke Olimpik, sama seperti mereka memainkan peranan penting dalam pengiktirafan sepak takraw di Sukan Asia 1982.
“Sepak takraw adalah sukan yang unik, memerlukan kemahiran, ketangkasan, dan strategi. Ia berakar umbi di Asia, tetapi telah berkembang di seluruh dunia,” jelasnya.