September 8, 2024

Bil perubatan Azhar dikurangkan, kerajaan sedia bantu selesaikan

Bil perubatan Azhar dikurangkan, kerajaan sedia bantu selesaikan



am@hmetro.com.my

Kuantan: Tiada yang lebih menggembirakan buat keluarga Azhar Mohamad apabila Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Korea Selatan meluluskan permohonan mereka untuk mengurangkan bil perubatan.

Malah kata Norul Hanim Mohamad, 35, adik kepada Azhar, bil itu akan diselesaikan oleh Kerajaan.

“Saya bersyukur akhirnya doa kami adik-beradik sejak Mei lalu dimakbulkan Allah.

Dua perkara ini adalah perkhabaran manis buat kami adik beradik yang banyak berkorban untuk Azhar sejak 2021 hingga hari ini.

“Pihak Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk menghubungi kami menyatakan rayuan permohonan pengurangan baki bayaran rawatan lebih RM94,153 diluluskan.

“Pihak hospital menyatakan kami hanya perlu membayar kira-kira RM47,180.14 sahaja,” katanya.

Menurutnya, pengurangan bayaran bil rawatan itu amat bermakna buat mereka sekeluarga yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

“Lebih terharu lagi apabila saya menerima mesej daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar semalam yang menyatakan pihaknya akan membantu menyelesaikan bayaran bil berkenaan.

“Saya seolah bermimpi apabila menerima berita berkenaan yang tidak pernah diduga sama sekali, kebimbangan kami adik-beradik sebelum ini kini sudah terlerai sepenuhnya,” katanya, dihubungi di sini semalam.

“Sebelum ini kami adik-beradik memutuskan akan menjual tanah, kereta dan barangan emas arwah mak bagi membayar bil rawatan berkenaan.

“Walaupun terlalu berat hati untuk berbuat demikian namun kerana hutang ia tetap perlu dilakukan,” katanya yang diberi tanggungjawab menguruskan urusan bayaran rawatan Azhar.

Beliau berkata, kos keseluruhan perubatan Azhar sebanyak RM280,000 dan sebanyak RM200,000 dilunaskan oleh ahli keluarga melalui dana sendiri dan sumbangan orang ramai sebelum ini.

Media sebelum ini menyiarkan kisah Azhar, 39, yang berkerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Jincheon, Korea Selatan, ditemukan rakan dalam keadaan separa sedar di rumah sewanya di negara itu, selepas diserang angin ahmar pada 31 Ogos 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top